Kenapa pertanian Thailand berjaya?

RAKYAT Malaysia kadangkala terlupa bahawa banyak produk pertanian yang dihasilkan anak tempatan sebenarnya berkualiti. Apa yang sering kali kedengaran ialah mereka teruja dengan produk pertanian dari negara jiran di sebelah utara iaitu Thailand.

Beras siam, mangga siam dan durian siam adalah antara produk pertanian keluaran negara itu yang kerap kali kita dengar.

Mengapa demikian? Adakah kerana produk pertanian kita seperti durian dengan baka D24 dan sebagainya serta benih padi MR219 sebagai contoh, belum begitu berdaya saing.

Ada beberapa persoalan yang timbul dan ini dijawab jelas oleh seorang usahawan pertanian yang juga Konsul Kehormat Diraja Thailand yang berpejabat di Langkawi, Datuk Shazryl Eskay Abdullah.

Pada pertemuan dengan Mega di Kuala Lumpur, baru-baru ini, beliau yang dilantik ke jawatan tersebut pada 2004 berkongsi beberapa persoalan untuk direnungi bersama.

Antaranya, kenapa buah dan sayur Thailand lebih baik dan kenapa sayur negara berkenaan mampu bersaing dalam pasaran eksport.

Persoalannya yang tidak kurang pentingnya ialah kenapa keluaran padi negara berkenaan cukup berkualiti dan mampu memnuhi keperluan eksport?

Persoalan-persoalan tersebut berada dalam lingkungan sektor agro makanan dan selanjutnya beliau membawa kepada persoalan lain iaitu kenapa kita mampu berada dalam kedudukan pertama dalam industri kayu getah.

Beliau yang berasal dari Kedah, menjelaskan terdapat beberapa perkara yang mendukung kejayaan Thailand dalam bidang pertanian.

Pertama, ia berkaitan dengan tenaga kerja yang mana mereka komited, tidak ortodoks dan menguasai teknologi baru.

''Kerajaan Thailand sentiasa meningkatkan pengetahuan dalam bidang teknologi pertanian serta asas tani kepada golongan petani mereka'' ujarnya.

Perkara kedua berkaitan dengan sistem atau pendekatan pertanian di negara berkenaan. Shazryl Eskay merujuk kepada sikap petani yang menganggap pertanian adalah satu industri.

Katanya, oleh kerana sumber tanah adalah terhad, petani mengeksploitasi setiap inci tanah pertanian dan setiap pokok yang mereka tanam.

''Di Malaysia, kita memberi tumpuan kepada pokok sehektar demi sehektar berbanding tumpuan kepada sepokok demi sepokok.

Setiap petani juga, katanya, diajar bahawa untuk berjaya dalam pertanian, amalan secara holistik adalah penting kerana kualiti dan kuantiti hasil pengeluaran bergantung kepada pokok yang sihat.

Pokok yang sihat pula bergantung kepada tanah yang subur, manakala tanah yang subur bergantung kepada kandungan atau sistem biodiversiti tanah seperti mikrob, cacing dan hidupan lain dalam tanah.

Pada masa sama, kerajaan negara berkenaan juga meningkatkan infrastruktur pertanian dengan menyediakan pusat pungutan dan pemprosesan hasil setiap daerah dan sistem silo (simpanan bijirin).

Faktor ketiga yang beliau kongsi ialah penggunaan benih yang bermutu.

Katanya, klon benih memainkan peranan penting kerana yang menentukan sama ada kualitinya baik seperti tahan lama, saiz sesuai, manis dan cantik.

Keseragaman klon juga penting dalam industri buah khususnya untuk pengetinan, selain kualiti tahan penyakit.

Faktor keempat yang tidak kurang pentingnya ialah baja.

Menurut beliau, baja yang baik mengandungi nutrien yang lengkap untuk keperluan tanaman dan tidak memudaratkan tanah serta mikroorganisme.

''(Kebanyakan) baja yang berada di pasaran kini tertumpu kepada keperluan tanaman sahaja," katanya.

Beliau mempersoalkan kenapakah pokok yang yang telah diberi baja masih mengalami masalah seperti penyakit, tidak mengeluarkan getah dan buah tidak berkualiti,

Apa yang berlaku dakwanya ialah masalah 'defiseinsi nutrin' kerana pokok tidak mendapat kuantiti dan baja yang diperlukan.

''Pokok perlu 16 jenis nutrien tapi yang dapat hanya baja N.P.K. sahaja sedangkan (nutrien) yang lain diabaikan," katanya.

Katanya, negara berkenaan memanfaatkan baja untuk melakukan transformasi industri pertanian dan nama baja yang digunakan ialah Silicon 23 iaitu sejenis baja mineral dan natural dari negara berkenaan.

Faktor kelima ialah sistem pemasarannya yang mana ia melibatkan syarikat penerbangan Thai Airways, amalan menggunakan koperasi pengangkutan dan pembungkusan yang berkualiti.

Oleh itu, katanya, faktor-faktor tersebut wajar diberi perhatian sekiranya industri pertanian negara hendak ditransformasikan bersungguh-sungguh.

Beliau bagaimanapun berkata, sektor pertanian tempatan telah memperkenalkan banyak klon benih dan baka untuk meningkatkan kualitinya.

Bagaimanapun, tanaman tersebut perlu nutrien yang lengkap dan berkesan untuk mencapai sasaran pengeluarannya.

Shazryl Eskay menjelaskan, pembajaan penting kerana ia mampu menggantikan nutrien dan melengkapkan apa yang kurang

Katanya, kadangkala berlaku kes yang mana tanaman masih bermasalah meskipun telah diberi baja.

Kelapa sawit sebagai contoh merupakan jenis monoecious yang mampu menghasilkan bunga betina atau jantan.

"Waktu pembentukan jantina adalah sangat penting bagi tanaman itu dan sekiranya berlaku stres, penghasilan bunga betina terbantut," katanya.

Katanya, keadaan itu akan menyebabkan pembentukan bunga jantan yang antara lain disebabkan tidak mendapat nutrien yang cukup dan lengkap.

Tanaman yang tidak mendapat nutrien yang cukup dan lengkap mengalami masalah kekurangan zat. Ia disebabkan oleh dua faktor iaitu apabila tanaman tidak mendapat kuantiti nutrien yang diperlukan dan tanaman tidak mendapat jenis nutrien yang diperlukan.

Kuantiti nutrien pula bergantung kepada jenis tanah sama ada berpasir tanah liat atau berasid.

Jika berpasir, baja akan hilang melalu proses larut resap dan jika tanah liat , baja akan hilang menerusi proses pemeruwapan dan hilang apabila dalam proses larian permukaan semasa hujan.

Pembajaan di tanah berasid pula akan menyebabkan fosfat terikat dan tidak dapat digunakan oleh tanaman.

Justeru, waktu menabur baja penting bagi mengelakkan masalah tersebut.

Bagi jenis nutrien pula, beliau menjelaskan. tanaman memerlukan 16 jenis nutrien untuk proses tumbesaran dan pengeluaran yang baik.

Nutrien yang sentiasa digantikan melalui proses pembajaan adalah NPK dan magnesium sahaja. - Utusan Malaysia

Amalan Pertanian Baik - SALM dan SOM


Untuk maklumat lanjut sila klik logo di atas

Amalan Pertanian Baik (APB) adalah satu sistem pengurusan yang menjalankan amalan-amalan pertanian yang baik yang dilaksanakan mengikut piawaian dan undang-undang / peraturan bagi mengawal dan mengurangkan hazard, risiko dan impak terhadap aktiviti pengeluaran pertanian. Sistem pengurusan ini akan dapat meningkatkan produktiviti, menjaga keselamatan dan kebajikan pekerja, keselamatan makanan dan pemuliharaan alam sekitar. Usaha ini adalah ke arah pembangunan lestari.


Matlamat:

  1. Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) memberi pengiktirafan kepada ladang-ladang yang mengamalkan Amalan Pertanian Baik (APB) mengikut keperluan yang ditetapkan dalam piawaian Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) dan Piawaian negara MS 1784 : 2005 – Crop Commodities – Good Agricultural practice (GAP)
  2. Skim Organik Malaysia (SOM) memberi pengiktirafan kepada pemilik ladang yang mengusahakan penanaman di ladang secara organik mengikut keperluan yang ditetapkan dalam piawaian Negara MS 1529 : 2001 – The production, processing, labeling and marketing of plant-based organically produced foods.

    Nak buka bisnes? Mula dgn modal kecil

    Perniagaan modal kecil, cth: rm500-rm2000
    Pendapatan lumayan
    Setengah hari @ sehingga abis bahan
    Pemantauan yg minimum, senang dikendalikan
    Produk @ servis yg unik, ada inovasi
    Ada kelainan dgn pesaing anda
    Perniagaan yg low profile
    Mudah dialihkan
    Bahan mentah atau stok senang diperolehi
    Ada kepakaran, sebagai hobi dan minat untuk membuat @ melaksanakannya
    Boleh dikembangkan ke peringkat glocal (tempatan & antarabangsa)
    Perniagaan tidak statik, cth: gerai ke restoran
    Kalau ada tambahan sila komen di bahagian komen, tq

    Renung2kan dan selamat berusaha.

    Kelebihan Sistem Fertigasi

    Fertigasi berasal dari dua perkataan Inggeris iaitu fertilization dan irrigation. Sistem Fertigasi adalah salah satu daripada cabang hidroponik yang antara lainnya ialah seperti Sistem Titis Mikro, Hidroponik Aliran Dalam, Hidroponik Aliran Cetek, Hidroponik Statik, Aeroponik dan Pemercik Mikro. Sistem Fertigasi sangat sesuai bagi tanaman sayur berbuah dan berdaun seperti tomato, timun Jepun, cili merah, terung, melon, strawberi dan juga pokok hiasan.

    Ringkasnya, sistem tanaman ini adalah sangat sesuai untuk tanaman yang bernilai tinggi di pasaran. Tanaman Sistem Fertigasi bertujuan untuk mengelakkan serangan penyakit akar yang disebabkan oleh serangan kulat seperti pythium, fusarium, rhizoton dan juga penyakit layu bakteria yang berpunca daripada tanah.

    Kelebihan Sistem Fertigasi:
    • Nutrien lengkap dikawal ikut pertumbuhan pokok
    • Menjamin kebersihan dan menghindar penyakit
    • Mengatasi masalah bawaan tanah
    • Kualiti hasil yang lebih baik dan cantik
    • Mengurangkan penggunaan racun
    • Penggunaan baja yang cekap dan jimat
    • Meningkatkan hasil pengeluaran
    • Modal pusingan yang rendah
    • Masalah merumpai sangat rendah
    • Meminimumkan tenaga buruh

    Mesin mengasing biji durian

    RAJA buah, durian (Durio zibethinus L). adalah salah satu buah yang sangat digemari di kalangan rakyat negara ini. Aromanya yang menggoda, menjadikan buah ini menjadi popular dimakan segar. Selain itu, isi durian diproses untuk menghasilkan bermacam-macam jenis makanan seperti dodol wajik, coklat, gula-gula, sos dan bahan perisa. Bagaimanapun, apabila tiba musimnya buah menjadi terlalu banyak dijual di tepi-tepi jalan dan harganya akan merudum.

    Pada masa sama, industri durian lebih tertumpu kepada penjualan buah mentah dan tidak ada mesin khas atau alat khas untuk pemprosesan secara besar-besaran. Pemprosesan besar-besaran merujuk kepada bagaimana mengasingkan biji durian dengan isinya yang selama ini dilakukan secara manual. Kerja-kerja ini memerlukan tenaga yang ramai dan mengambil masa yang lama dan rumit.

    Di samping itu, pes durian yang diperoleh cara ini juga kurang bersih dn sudah tentu tidak menepati piawaian kebersihan makanan yang ditetapkan. Oleh itu, selaku, peneraju dalam teknologi dan mekanisasi pertanian dan teknologi makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah berjaya menghasilkan satu inovasi mesin yang dikenali sebagai Mesin Pengasing Biji Durian.

    Ciri-ciri mesin
    Mesin dibangunkan untuk memekanisasikan proses pengasingan biji durian. Durian telah digunakan dalam penghasilan pelbagai produk makanan yang berperisa durian seperti dodol durian, ais krim, kuih dan sebagainya.

    *Bahagian utama mesin ialah mekanisme drum yang diperbuat daripada jaringan rod keluli tahan karat. Drum yang berputar ini menggunakan prinsip daya emparan untuk melepaskan biji daripada isi tersebut.

    *Sistem penyembur angin berkelajuan tinggi digunakan untuk membersihkan isu durian yang melekat pada rod-rod tersebut.

    *Mesin ini hanya memerlukan seorang pengendali dan tidak memerlukan kemahiran tinggi untuk mengendalikannya.

    *Mesin ini digerakkan oleh motor dengan kelajuan boleh laras.

    *Bahagian-bahagian mesin mudah dipasang dan dileraikan serta mudah dicuci dan diselenggara.

    *Pemprosesan boleh dilakukan secara berterusan untuk pengeluaran pes yang maksimum.

    *Boleh memproses sehingga 150 kilogram (kg) isi (ulas) dalam masa sejam.

    Penggunaan
    *Pengendali memasukkan lebih kurang lima kg ulas durian ke dalam bekas (hopper) pengisian.

    *Kemudian, mesin dihidupkan dengan kelajuan yang dimasukkan sederhana tadi akan berguling di dalam drum yang berputar

    *Selepas lebih kurang lima minit, sebahagian daripada biji durian akan terkeluar dengan sendirinya daripada mesin ini bekas (hopper) outlet biji.

    *Isi durian atau pes dikumpulkan dalam hopper outlet.

    *Biji-biji durian yang tertinggal boleh dikeluarkan secara manual dan proses ini diulangi untuk ulas-ulas seterusnya.

    Keistimewaan
    *Mesin ini direka khas untuk pemprosesan is durian kerana kebanyakan mesin pengasing biji yang terdapat di pasaran di reka untuk pelbagai jenis buah, tetapi jika digunakan untuk durian, hasilnya tidak begitu memuaskan.

    *Pes durian yang hasilkan tidak mengandungi serpihan biji-biji durian.

    *Pes durian yang dihasilkan lebih bersih. Mesin inj mengelakkan berlakunya pencemaran pada pes, dengan meminimumkan pengendalian secara terus.

    *Kadar perolehannya lebih tinggi berbanding penggunaan mesin pengasingan serbaguna yang terdapat di pasaran.

    *Lebih kurang 60 peratus biji durian dapat dikeluarkan daripada mesin dengan sendirinya.

    Potensi komersial
    Mesin ini sesuai digunakan oleh usahawan kecil dan sederhana (IKS) yang juga berperanan sebagai sebagai peraih/penjual buah durian mentah. Pemprosesan buah durian kini boleh dijalankan untuk dibekalkan kepada industri pemprosesan hasilan durian di pasaran. Kos pengeluaran boleh dikurangkan kerana mesin ini sangat mudah digunakan. - Utusan Malaysia

    Vermikompos tingkat kesuburan tanah

    VERMIKOMPOS merupakan baja kompos yang terbentuk hasil daripada pemeliharaan cacing dalam kompos. Vermikompos mengandungi najis cacing yang bercampur dengan bahan-bahan organik yang mereput seperti jerami padi, rumput, dan lain-lain sisa bahan tanaman. Vermikompos mengandungi pelbagai unsur nutrien yang sangat sesuai untuk tanaman. Selain itu, ia juga membantu menguraikan sebatian kompleks kepada unsur yang boleh diambil oleh tanaman.

    Cara membuat vermikompos
    a. Bahan-bahan
    i. Jerami padi atau sisa bahan pertanian yang telah reput atau separuh reput.
    ii. Najis haiwan (tahi lembut) atau tahi ayam)
    iii. Cacing merah (cacing kompos)

    b. Cara membuat
    i. Sediakan tapak kompos dan bangsal untuk membuat vermikompos bagi melindungi daripada hujan dan panas.
    ii. Masukkan 300 kilogram (kg) jerami dan 100 kg tahi lembu ke dalam tapak kompos dan gaulkan.
    iii. Masukkan empat kg cacing merah (lebih kurang 10,000 ekor) ke dalam campuran jerami dan tutup dengan jerami atau guni
    iv. Lakukan penyiraman setiap dua hari sekali supaya campuran sentiasa dalam keadaan lembap.
    v. Pemantauan dan pengurusan yang sempurna hendaklah dilakukan bagi memastikan cacing berada dalam keadaan selesa dan tidak diganggu oleh musuh-musuh seperti tikus, semut dan burung.
    vi. Hasil vermikompos boleh diambil dalam masa sebulan.

    Pengutipan hasil
    Vermikompos boleh dituai selepas tiga atau mepat bulan. Vermikompos yang terhasil diasingkan dengan mengumpulkannya dalam satu bahagian dan bahan sisa tanaman bari ditempatkan di sebelahnya. Cacing-cacing akan berpindah dengan sendirinya ke bahan sisa tanaman baru. Vermikompos yang telah diasingkan ditapis sebelum dibungkus dan dijual atau digunakan.

    Kebaikan vermikompos
    i. Memperbaiki struktur tanah
    ii. Memperbaiki kandungan biologi tanah dengan penambahbaikan mikrorganisma, hormon dan juga enzim.
    iii. Membekalkan unsur-unsur yang diperlukan untuk pertumbuhan pokok.
    vi. Mengandungi humus yang berguna untuk meningkatkan kesuburan tanah.

    - Utusan Malaysia

    Awang Badar buka kolam ikan air tawar

    PAPAR: Kebelakangan ini, semakin banyak diperkatakan mengenai potensi sektor pertanian sebagai aktiviti ekonomi atau perniagaan berdaya maju yang menjanjikan 'kekayaan' kepada usahawan tani. Harus diakui, sektor itu mampu mengubah masa depan petani jika ada usaha dan kesungguhan membanting tulang empat kerat kerana ibarat pesan golongan terdahulu, andai berbudi pada tanah pasti ada hasilnya.

    Berdasarkan potensi itu juga kerajaan mengambil inisiatif menjadikan aktiviti pertanian sebagai satu usaha membasmi kemiskinan seperti pelaksanaan projek tanaman getah di Pulau Banggi. Bukan rahsia lagi ramai petani mampu mendapat pulangan lebih RM1,000 sebulan dengan hanya mengusahakan kebun sayur, getah, kelapa sawit, kolam ternakan ikan atau ternakan seperti ayam, itik, kambing, lembu dan kerbau.

    Antara yang menikmatinya ialah seorang usahawan tani dari Kampung Ambawa, di sini yang menceburi bidang pertanian sebagai aktiviti utama menyara keluarga sejak lebih 20 tahun lalu. Awang Badar Awang Ismail, 62, pengusaha kolam ikan air tawar, mengakui bidang pertanian boleh memberi kesenangan kepada sesiapa saja asalkan ada minat dan usaha. Bapa kepada enam anak ini mengakui walaupun bukan mudah untuk menjadi usahawan tani, terutama di peringkat awal tetapi apabila sudah membuahkan hasil, kepuasan yang dikecapi sukar digambarkan. "Saya berminat dalam bidang pertanian terutama menternak ikan air tawar dan saya bersyukur kerana usaha sejak 20 tahun lalu membuahkan hasil yang baik," katanya.

    Bekas penerima anugerah Peladang Jaya Papar pada 1980-an dan 1990-an ini menternak ikan keli Afrika, kap, lampam jawa, jelawat dan talapia merah untuk pasaran sekitar daerah Papar dan Keningau. Keli Afrika adalah ternakan utamanya dengan keupayaan pengeluaran kira-kira 50 kilogram (kg) seminggu atau 200kg sebulan dengan pendapatan hasil jualan lebih RM2,000.

    "Minat menternak ikan timbul selepas melihat kejayaan rakan saya dari Kampung Mawao di Membakut menternak ikan air tawar pada 1980-an. Saya ingin mencontohinya lalu mengambil keputusan membina kolam dengan modal sendiri. "Malah saya sanggup menempah anak ikan keli Afrika dari Kuala Lumpur untuk diternak di kolam ketika itu," katanya. Dengan modal kira-kira RM10,000, Awang Badar membina 16 kolam konkrit untuk menternak ikan keli Afrika di samping beberapa kolam lain bagi ternakan kap, lampam jawa, talapia merah dan jelawat. Kini, selain menjual ikan matang, Awang Badar turut menjual anak ikan kepada penternak ikan air tawar.

    Menariknya penghasilan anak ikan menerusi proses persenyawaan benih ikan jantan dan betina dilakukan sendiri tanpa tunjuk ajar mana-mana pihak. "Saya cuma melihat kaedah penetasan anak ikan di televisyen. Dari situ saya mencubanya dan Alhamdulillah, nampaknya berjaya. "Kini saya mampu menghasilkan sehingga 4,000 anak keli pada satu masa," katanya. Selaras konsep pertanian adalah perniagaan, Awang Badar yang dibantu tiga anaknya turut memasarkan sendiri ikan ternakannya di pasar tamu mingguan di Papar.

    "Walaupun memerlukan penjagaan yang rapi, namun kegiatan ini memberikan pulangan yang baik. Setiap minggu saya menjual 50kg ikan keli Afrika dan mendapat RM500. "Pasaran tiada masalah kerana ketika ini permintaan orang ramai memang banyak terutama ikan keli Afrika. Malah, ada yang sanggup datang dari Keningau ke kolam saya untuk membeli ikan," katanya.

    Bagaimanapun, beliau mengakui tidak mampu memenuhi permintaan secara pukal berikutan bekalan yang terhad. "Ada yang datang mahu membeli sehingga 200 kilogram tetapi saya terpaksa menolak kerana ikan yang ada tidak sebanyak itu," katanya. Memandangkan permintaan yang baik, beliau berhasrat membesarkan aktiviti penternakannya dengan membina kolam tambahan bagi menampung lebih banyak ikan. Katanya, dengan dibantu tiga anaknya beliau berharap aktiviti itu dapat dikembangkan menjadi perniagaan keluarga yang dapat diteruskan.

    Penggemar ikan keli dari Kampung Benoni, Papar, Rozman Abdullah, 43, berkata ternakan keli Afrika mendapat permintaan baik pengguna kerana saiznya yang besar berbanding keli lain. Bagaimanapun, katanya, bekalan ikan berkenaan belum mencukupi untuk memenuhi permintaan kerana tidak ramai petani mengusahakannya. "Setahu saya di Papar ini hanya Awang Badar yang menternak ikan berkenaan secara besar-besaran. Itu pun belum cukup menampung permintaan," katanya.

    Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Abdul Rahim Ismail, menggalakkan usahawan tani di negeri ini mengusahakan projek akuakultur air tawar memandangkan tidak ramai yang menceburi bidang itu. Katanya, selain untuk pasaran tempatan ternakan ikan air tawar seperti talapia dan keli mempunyai nilai eksport yang baik serta menjanjikan pulangan lumayan kepada usahawan tani. Awang Badar adalah antara usahawan tani yang berjaya membuktikan bidang akuakultur air tawar mampu memberikan kesenangan kepada petani yang rajin mengusahakan tanah. - Berita Harian

    Pujuk pokok kabung keluarkan nira

    Pokok kabung, sejenis pokok palma berasal dari Indonesia yang dikenali juga sebagai pokok Enau atau nama botaninya, Arenga pinnata, mungkin agak pelik berbanding dengan pokok daripada spesies palma yang lain.

    Pokok daripada keluarga Arecaceae ini pelik kerana semakin ia meninggi dan matang, tandan bunga dan buahnya pula tumbuh kian merendah di bahagian bawah batangnya hingga hampir mencecah tanah.

    Malah, dikatakan bahawa apabila tandan yang tumbuh di batang itu sudah hampir ke tanah, menandakan bahawa pokok kabung berkenaan sudah tua dan akan mati.

    Ini berbeza dengan pokok daripada spesies palma yang lain seperti pokok kelapa dan rumbia kerana tandan bunga dan buahnya akan tumbuh meninggi mengikut kematangan dan ketinggian pokok berkenaan.

    Pokok kabung, yang mengeluarkan nira yang boleh diminum begitu saja atau di proses menjadi gula merah dikatakan hanya akan mengeluarkan nira daripada tandan sepadan dengan 'pujukan' yang diberikan.

    Tidak semua tandan pokok kabung mengeluarkan nira kerana hanya tandan bunga jantan sahaja yang boleh 'dipujuk' untuk mengeluarkan niranya.

    Tandan bunga betina pula tidak akan mengeluarkan nira meskipun dipujuk seperti tandan bunga jantan.

    Kerja 'memujuk' mengikut istilah yang digunakan pemungut nira di Ladang Sungai Balung, iaitu dengan mengetuk batang tandan bunga jantan itu secara bersopan, memang berlaku berdasarkan pengalaman mereka sejak bertahun-tahun lamanya.

    ''Sebelum batang tandan bunga jantan dicantas, batang tandan berkenaan perlu dibersihkan daripada sebarang sisa kelopaknya.

    "Selepas itu, ia perlu 'dipujuk' dengan mengetuk-ngetuk batang tandan itu ke arah atas dua kali dan arah ke bawah dua kali.

    ''Tujuan mengetuk berkenaan ialah bagi melonggarkan rongga-rongga saluran aliran air nira dalam batang tandan berkenaan. Kalau tidak dibuat begini air nira tidak akan keluar", kata Nurdin Baddusa, 49, yang telah menjalankan kerja mengutip air nira sejak tujuh tahun lepas.

    Menurut Nurdin, ketukan pula hendaklah dibuat secara berhati-hati supaya tidak mencederakan batang tandan berkenaan.

    "Jika ketukan terlalu kuat dan batang tandan tercedera, nira tidak akan keluar langsung," kata Nurdin ketika ditemui di Ladang Sungai Balung, kira-kira 60km dari sini.

    Beliau adalah seorang daripada kira-kira 20 pekerja pemungut air nira di ladang berkenaan. Menurut Nurdin amalan berkenaan perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan berterusan sehingga bunga pada tandan pokok Kabung kembang.

    ''Apabila bunga pada tandan berkenaan sudah kembang, tandan berkenaan bolehlah dicantas dan jika aliran air niranya sudah agak deras ia boleh ditadah dengan bekas yang direka khas.

    "Jika belum deras, bahagian hujung tandan yang dicantas itu perlu dihiris sebaiknya sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada waktu petang sehingga aliran niranya deras", katanya.

    Nurdin berkata, nira biasanya dikutip dua kali sehari dan ada antara pokok kabung berkenaan boleh mengeluarkan sehingga 10 liter nira sehari.

    Katanya, nira yang siap dikutip kemudian dihantar ke kilang pemprosesan yang terletak dalam ladang berkenaan untuk diproses menjadi sirap nira kabung (Arenga Pinnata Syrup).

    "Kami memproses kira-kira 700 kg nira kabung sehari," kata Masriani Mansor, ahli teknologi makanan di kilang pemerosesen sirap nira kabung berkenaan.

    Sementara itu Pengurus Besar Kebun Rimau Sdn Bhd K.Arunagirinathan yakin sirap nira kabung atau gula kabung suatu hari nanti akan menjadi satu daripada sumber gula utama di negara ini.

    Menurutnya, gula kabung boleh menggantikan gula biasa dan lebih penting daripada itu ia tidak mengandungi glukosa dan baik untuk kesihatan khususnya bagi pengidap kencing manis.

    ''Kami sudah menanam kira-kira lebih 5,000 pokok kabung daripada jenis benih bermutu tinggi meliputi kawasan seluas kira-kira 809 hektar di Ladang Sungai Balung.

    ''Dalam tempoh 10 tahun dari sekarang mungkin kami perlu membina kilang memproses sirap nira kabung atau gula merah yang lebih besar.

    ''Saya juga yakin suatu hari nanti sirap nira kabung ini akan menjadi sumber gula utama di negara ini malah mungkin juga menjadi pilihan utama penduduk dunia kerana kebaikannya dari segi kesihatan", katanya.

    Arunagirinathan berkata, sirap nira kabung yang dikeluarkan syarikat berkenaan yang kini sudah berada dalam pasaran tidak mengandungi bahan kimia atau pewarna atau perasa tiruan sebaliknya keasliannya dikekalkan.

    Katanya, idea penanaman pokok kabung berkenaan secara besar-besaran bermula sembilan tahun lepas apabila pengerusi syarikat berkenaan Datuk Harris Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah membawa benih pokok berkenaan dari Indonesia.

    Menurutnya, sirap nira kabung boleh dijadikan bahan masakan dalam kuih-muih tradisional, makanan dan minuman.

    Antara makanan yang popular dengan campuran gula atau nira kabung ialah bubur kacang, kuih koci, kuih kelepong, dodol, wajik, agar-agar, kuih sepang, air batu campur dan cendol.

    Sirap nira kabung juga boleh digunakan sebagai pemanis dalam pembuatan kek serta pastri, makanan bijirin dan jus buah-buahan. - Bernama

    Bekas jurutera jadi tauke cendawan

    KENIKMATAN yang diperoleh hasil berbudi dengan tanah sukar diluah dengan kata-kata. Apatah lagi seronok melihat hasil yang membanggakan dan mampu pula menggantikan pergantungan makan gaji selama 10 tahun.

    Bagaimana pun kerjaya sebagai jurutera projek menyebabkan Mohd Asmawi Mohamed Noor, 33, sukar membuat keputusan sama ada meletakkan jawatan atau membabitkan diri sepenuhnya sebagai penanam cendawan di kampung halamannya, di Padang Salim, Peringat, Kota Bharu Kelantan.

    ''Seperti cinta yang baru berputik apabila aktiviti suka-suka membina dua rumah cendawan di kampung mula mengeluarkan hasil dan berpotensi untuk dimajukan, rasa cinta itu mula bercambah tetapi saya keliru membuat keputusan.

    ''Bagaimanapun lepas setahun, saya nekad terjun dalam bidang pertanian apabila tanaman cendawan di dua buah bangsal menunjukkan potensi memberangsangkan dan memberi pulangan berbaloi," ujar lulusan kejuruteraan di Institut Jerman-Malaysia (GMI), Kuala Lumpur ini.

    Bersama adik iparnya Azuddin Zakaria, 33 , kini Asmawi bergelar usahawan apabila berjaya mengeluar dan memasarkan cendawan sebanyak 130 hingga 150 kilogram sehari.

    Di samping itu, Asmawi turut menerokai bidang baru sebagai pembekal anak benih cendawan yang telah siap diisi dalam polibeg dengan harga RM1.20.

    Sejak akhir tahun lalu pula, dia bekerjasama dengan Jabatan Pertanian negeri menganjurkan kursus penanaman cendawan kepada mana-mana pihak yang berminat selama tiga hari dengan yuran RM150 seorang.

    ''Dalam kursus tersebut, kami berkongsi pengalaman kepada pihak yang berminat menyertai bidang penanaman cendawan, mendedahkan teknik serta proses tanaman, membekalkan anak benih, membina rumah cendawan serta khidmat kewangan," katanya.

    Akuinya, walaupun di peringkat awal, dia dan rakan kongsi kosong dengan ilmu dan kemahiran mengendalikan projek tanaman cendawan tetapi minat dan kesungguhan untuk menjayakannya terbit secara semulajadi.

    ''Azuddin yang menjadi rakan kongsi, saya galakkan menyertai kursus berkaitan manakala saya pula lebih dalam bidang pemasaran walaupun awalnya setiap minggu berulang alik dari tempat kerja di Shah Alam, Selangor ke kampung sebelum meletakkan jawatan pada tahun 2006," ujarnya.

    Mendapat sokongan daripada Agro Bank dengan memberi modal pinjaman sebanyak RM250,000 sejak dua tahun lepas.

    ''Di bawah syarikat Nutri Agrotech Enterprise, buat masa ini terdapat enam rumah cendawan yang tapak asal merupakan tanah terbiar di kampung," katanya.

    Bermula dengan dua rumah diperbuat dari bangsal kayu berdinding dan beratap nipah seluas 20 kaki lebar dan di tepi rumah ibunya, bermodal daripada poket sendiri, Mohd. Asmawi mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu dan bercadang menambah jenis black jelly pada masa hadapan.

    ''Dalam sebuah rumah cendawan seluas 20 kaki lebar dan 40 kaki panjang yang dibina daripada rangka besi dan kanvas mampu memuatkan 15,000 polibeg yang disusun atas rak-rak secara bertingkat," katanya.

    Menceritakan pengalaman mengusahakan cendawan, Asmawi berkata banyak perkara baru yang jauh menyimpang daripada kerjayanya selama ini dipelajari namun perbezaan itu menarik perhatiannya.

    Lokasi operasi cendawannya kebetulan berhampiran dengan kilang memproses kayu turut memudahkan Mohd. Asmawi memperoleh habuk kayu getah malah telah membantu pihak pengurusan kilang melupuskan bahan buangan tersebut dalam bentuk kitar semula.

    ''Proses tanaman cendawan memerlukan penggunaan habuk kayu getah yang dicampur dedak padi, kapur dan air yang dimasukkan ke dalam beg media

    ''Diikuti dengan proses mematikan bakteria selama tujuh jam dengan cara mengukus dan disejukkan selama 12 jam

    ''Selepas itu setiap beg disuntik dengan benih dalam bilik bersih dan berhawa dingin sebelum mengalami proses pemeraman selama 55 hingga 60 hari dan disusun secara mengiring atas rak di dalam rumah," ujarnya.

    Tambah Mohd. Asmawi, proses pemeraman memerlukan pemantauan kerana biji benih mudah dicuri tikus yang gemar memakannya dengan cara mengorek dari hujung beg.

    ''Selain itu, pengusaha juga berhadapan dengan penyakit kulat hijau atau green mould dan kulat berwarna oren atau neuro spora yang menyerang isi dalam kampit menyebabkan seluruh beg tersebut berubah warna.

    ''Beg yang dijangkiti mesti diasingkan kerana ia mudah berjangkit dan menyebabkan gagal mengeluarkan hasil," jelasnya.

    Selepas dua bulan katanya, putik atau kudup cendawan yang dikenali sebagai mycelia akan memenuhi ruang atas kampit terjuntai keluar, selepas hari ke tiga dan ke empat hasil boleh dipungut.

    ''Setiap polibeg mengeluarkan 200 hingga 300 gram hasil dan bergantung kepada kesuburan benih yang akan dikutip mengikut permintaan dan keadaan kelopak cendawan itu sendiri.

    ''Hari ke tiga paling cantik sebelum bahagian tepi kelopak cendawan berombak dan pecah dengan cara mencabut keseluruhan daripada muncung beg. Hari ke empat cendawan pada peringkat maksimum dengan kelopak lebih segar, cantik dan apabila dimakan rangup dan manis," ujarnya.

    Menurut Mohd. Asmawi, tanaman yang memerlukan kawalan suhu sinar matahari itu boleh dikutip hasilnya selama tujuh kali berturut-turut sebelum direhatkan selama 15 hari sebelum hujungnya ditutup semula untuk memberi peluang kepada kampit lain mengeluarkan hasil.

    Mohd. Asmawi yang mempunyai pembekal tetap menjual secara borong RM5 sekilogram (harga pasaran RM8 hingga RM10 sekilogram) untuk pasaran pasar basah dan pasar tani berhampiran.

    ''Tahun ini, sebanyak empat rumah lagi akan ditambah untuk memenuhi permintaan yang cukup menggalakkan daripada pembekal dan orang ramai," katanya. - Utusan Malaysia

    Peluang jadi pembekal baja cacing

    PERINTIS Agrotech Centre (Perintis), sebuah pusat pembangunan industri pertanian dan asas tani, kini melangkah setapak lagi ke hadapan dengan menghasilkan produk-produk pertanian biotek berasaskan cacing.

    Sehingga kini Perintis telah membuka dua kilang ternakan cacing yang menumpukan kepada pengeluaran baja vermikompos secara besar-besaran.

    Di samping itu, sebuah lagi kilang yang terletak di Semenyih digunakan sepenuhnya untuk memproses produk-produk biotek yang berasaskan ekstrak dan baja cacing.

    Di antara produk berasaskan cacing yang mendapat sambutan yang paling tinggi ialah Bio-Booster yang merupakan makanan utama yang digunakan dalam sistem ternakan keli ProAsli yang hanya memerlukan penjagaan seminggu sekali dan tanpa penggunaan pelet sehingga waktu tuaian.

    Penyelidikan
    Kini Perintis giat membangunkan penyelidikan untuk memberi tambah nilai kepada baja vermikompos tersebut.

    Terdapat pelbagai lagi produk yang telah dihasilkan iaitu Bio-Vita, yang merupakan vitamin dan makanan tambahan untuk ternakan, Bio-Aqua yang digunakan untuk mengawal kualiti air dan mempercepatkan tumbesaran ternakan ikan dan pelbagai produk lain.

    Bagi menampung pengeluaran produk-produk berasaskan cacing ini, seramai 200 pembekal baja vermikompos akan dilantik oleh Perintis.

    Adalah dijangka lebih 30 tan baja akan dihasilkan dalam tempoh sebulan bulan.

    Setakat ini hampir 15 tan per bulan baja telah digunakan bagi memproses produk-produk tersebut dan bermula bulan Jun ini , Perintis mensasarkan pengeluaran produk-produk tersebut sebanyak tiga kali ganda.

    Bagi memastikan baja-baja yang dibekalkan kepada Perintis adalah dalam piawaian yang ditetapkan maka setiap pembekal akan dilatih oleh tenaga pakar dari Perintis sendiri.

    Selain dari itu bagi memenuhi syarat sebagai pembekal, modal minimum dikenakan bagi memasuki kontrak jaminan belian balik vermikompos tersebut yang merangkumi modal untuk ternakan, makanan dan perubatan ternakan.

    Menurut Pengurus Projek AgroHub, Norzana Rafie, Fasa I projek ternakan cacing telah berjaya dibentuk di sekitar Selangor dan kini projek ini telah memasuki fasa ke II untuk ke seluruh negara.

    ''Di bawah projek ternakan cacing ini, pembekal akan dilatih dan diberi tunjuk ajar secara percuma sebelum membuat ternakan sendiri,'' katanya.

    Satu kaedah penternakan cara mudah dan jimat akan diperkenalkan di samping teknik penjagaan terkini dengan bantuan produk bioteknologi iaitu Bio-Ternak.

    Sebanyak 5 kilogram induk cacing beserta makanan akan diberikan kepada pembekal dilantik untuk diternak dengan menggunakan kaedah ternakan yang telah ditetapkan oleh Perintis sebelum menjual semula baja vermikompos yang dihasilkan kepada pihak syarikat.

    Tambah beliau lagi, penggunaan Bio-Ternak bukan sahaja dapat membantu menguraikan sumber makanan cacing dengan lebih cepat malah dapat memberikan selera makan yang tinggi kepada cacing.

    Bukan setakat itu sahaja, cacing yang diternak menggunakan Bio-Ternak juga lebih sihat, cepat membesar dan berkualiti tinggi.

    Baja yang terhasil juga terbukti lebih bernutrisi tinggi berbanding baja cacing yang dihasilkan menggunakan teknik biasa".

    Keluaran
    Mempelbagaikan penggunaan baja cacing untuk produk keluaran sendiri menjadi kunci utama kejayaan Perintis.

    Dalam erti kata yang lain, Perintis tidak terlalu bergantung kepada pasaran terbuka sebaliknya lebih tertumpu kepada memasarkan produk-produk penggalak pertanian berasaskan cacing.

    Kini satu rundingan telah pun dibuat dengan wakil-wakil dari Thailand dan Indonesia untuk memasarkan produk-produk tersebut ke negara-negara di rantau Asia.

    Satu siri promosi telah dirangka dengan kerjasama jabatan perikanan dan jabatan pertanian bagi memperkenalkan produk-produk tersebut ke dunia luar.

    Apa yang diharapkan adalah usaha sama yang terjalin di antara pihak Perintis ini dapat memberi menafaat kepada peserta-peserta yang baru menceburi industri ternakan cacing ini sekali gus menjadi jalan alternatif dalam menjana pendapatan sampingan sebelum menceburi industri ini secara komersial.

    Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi 03-6187 3796 atau 019-6634527 atau layari www.agrohub.net atau di pejabat urusan di Bussiness Suite B-17-G, The Medan Selayang, Batu Caves, Selangor Darul Ehsan. - Utusan Malaysia

    Hasil cili lumayan

    Walaupun pernah gagal mengusahakan tanaman cili merah sebelum ini, Abd. Latif Mohd. Yusof, 48, tidak pernah kenal erti putus asa.

    Sebelum ini, tanaman cili yang diusahakan di Paya Kangsar, Jerantut, Pahang diserang dengan pelbagai jenis penyakit yang menyebabkan cili yang tidak dihasilkan tidak bermutu dan terpaksa dimusnahkan.

    Biarpun gagal buat kali pertama, Abd. Latif tetap dengan usaha terus mengusahakan ladang cili kulai merah di tanah seluas lima ekar secara sambilan di Kampung Perian, Jerantut, Pahang.

    Beliau yang membeli benih cili merah kulai di sekitar Jerantut mengusahakan ladang cili buat kali kedua memilih tanaman ini kerana harga cili yang tinggi dan permintaan yang semakin meningkat.

    Walaupun baru enam bulan ditanam, cili merah yang ditanam telah mula mengeluarkan hasil kira-kira 500 kilogram cili sehari.

    Beliau memasarkan cili merahnya kepada pemborong yang datang dari pasar Jerantut, Pasar Tani dan Pasar Borong Selayang, Selangor.

    Bekerja sepenuh masa sebagai pemborong getah, Abd Latif berkata, tanaman cili merah memerlukan penjagaan yang rumit.

    Katanya, tanaman cili merah amat terdedah kepada pelbagai risiko penyakit akibat hama, kulat, virus dan serangan pelbagai jenis serangga perosak.

    "Sejak mula ditanam sehingga berbuah selepas empat bulan, pokok cili merah memerlukan kos penjagaan yang tinggi sekitar RM40,000 sehingga mengeluarkan hasil," katanya semasa ditemui di ladangnya, baru-baru ini.

    Pokok cili memerlukan penjagaan dan pengurusan yang rapi dengan semburan racun serangga dilakukan setiap tiga hari.

    Beliau yang mempunyai enam pekerja, menjalankan tugas pembajaan setiap minggu selain penyiraman setiap petang.

    Ketika ditanya mengapa tidak mempelbagaikan tanaman dengan cili padi, Abd Latif berkata, cili padi memerlukan tenaga pekerja yang lebih banyak untuk tugas-tugas memetik cili.

    "Walaupun harga cili padi lebih tinggi tetapi masa memetik cili lebih lama berbanding cili merah," katanya.

    Beliau berhasrat untuk membesarkan lagi keluasan ladang cili merahnya kerana mengeluarkan hasil dalam tempoh lebih lama.

    Pokok cili, kata Abd Latif, boleh mengeluarkan hasil sehingga setahun sebelum ditanam semula.

    "Selepas ini, saya akan tetap terus menanam cili merah sehingga saya boleh dikatakan penanam cili merah yang berjaya di daerah Jerantut, Pahang.

    "Saya akan berusaha mengawal semua jenis penyakit dan serangga yang menyerang pokok cili merah," katanya. - Utusan Malaysia

    Usahawan Cacing Kemaman

    Setiap kilogram cacing yang diternak akan bertambah menjadi empat kilogram dalam masa dua bulan dengan harga jualan mencecah RM450 hingga RM500 sekilogram.

    “EIII!!!...geli!.” Biasanya itulah respons orang ramai apabila ternampak cacing yang dianggap kotor dan menjijikkan.

    Namun, hari ini cacing bukan lagi hidupan yang lazimnya menjadi mainan kaki pancing untuk dijadikan umpan, sebaliknya ia menjadi produk perniagaan yang menguntungkan.

    Salah seorang penternak cacing, Amaram Ismail, 40, mengakui ramai yang tidak percaya spesies tersebut boleh diternak dan dijadikan satu bisnes berpotensi besar.

    Malah, ketika beliau memulakan perusahaan itu, ada segelintir pihak yang bersikap negatif dan memandang serong terhadap usahanya itu.

    “Ramai yang ketawa apabila saya memberitahu akan mengikuti kursus penternakan cacing di Kangar, Perlis pada awal tahun lalu.

    “Ada juga yang anggap saya kurang siuman kerana mahu melibatkan diri dalam perniagaan yang mereka anggap kotor dan sia-sia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanah Lot Binjai, Kemaman, Terengganu.

    Melalui syarikatnya, Agro Bioline Centre, beliau kini menjadi pembekal cacing untuk pasaran luar negara terutama ke China bagi dijadikan salah satu ramuan dalam produk kosmetik.

    Menurutnya, beliau sendiri tidak menyangka usahanya menternak cacing menjanjikan pendapatan lumayan dengan harga jualan mencecah RM450 hingga RM500 sekilogram (kg).

    MAKANAN cacing yang diternak oleh Amaram Ismali ialah batang pisang yang dipotong dan dicampur dengan najis kambing.

    Menurutnya, setiap kilogram cacing yang diternak akan bertambah menjadi empat kilogram dalam masa dua bulan.

    “Sebenarnya, cacing yang diternak bukan cacing yang berasal dari negara ini tetapi diimport dari Australia,” katanya.

    Penjagaan cacing tidak sukar kerana cacing tersebut akan diletakkan di dalam satu bekas yang dicampur dengan makanannya iaitu batang pisang yang dipotong dan dicampur dengan najis kambing.

    Menurutnya, cacing berkenaan tidak perlu diperiksa setiap hari kerana ia tidak mudah mati.

    “Cuma, apa yang perlu dibuat ialah sentiasa membasahkan cacing dan meletakkannya di tempat yang lembap. Makanan perlu ditambah seminggu sekali kerana jika habis, cacing akan merayap untuk melepaskan diri,” tambahnya.

    Beliau berkata, setiap kotak yang diisi cacing perlu ditutup dengan jaring halus bagi mengelak dimasuki musuh perosak seperti semut dan kumbang.

    Amaram berkata, najis cacing yang terdapat dalam bekas pula boleh dijadikan baja dan dijual pada harga sehingga RM15 sekilogram.

    “Baja najis cacing boleh menyubur tanaman dan sayuran manakala airnya pula digunakan untuk menyubur pohon bunga di halaman rumah.

    SETIAP kotak yang diisi cacing perlu ditutup dengan jaring halus bagi mengelak dimasuki musuh perosak seperti semut dan kumbang.

    Katanya, cacing dewasa boleh membesar sehingga 12 inci panjang dan boleh bertelur sebanyak 48 biji setahun.

    Beliau yang kini menjadi pembekal cacing di pantai Timur terutama Terengganu dan Pahang sentiasa sibuk memenuhi permintaan pelanggan yang tidak pernah putus.

    “Maklumlah, ini adalah produk terbaru yang tidak perlu penjagaan rapi tetapi menguntungkan dan semakin mendapat permintaan yang tinggi,” tambahnya. - Kosmo

    Cikgu Aron usahawan lintah

    KENINGAU 27 Okt. - Kebanyakan mereka yang bersara dalam perkhidmatan awam menganggap sisa waktu yang ada adalah masa untuk berehat daripada kesibukan bekerja.

    Namun sikap sedemikian bukan prinsip hidup Aron Warso, 56, iaitu bekas Pengarah Institut Perguruan Keningau yang mengambil peluang sempena persaraannya dalam perkhidmatan awam dengan melibatkan diri secara aktif dalam bidang pertanian dan ternakan.

    Menurut Aron, minatnya dalam bidang pertanian dan ternakan mula tersemai semasa masih berkhidmat sebagai penjawat awam melalui pembacaan.

    Beliau yang minat membaca mempunyai koleksi 350 buah buku yang berkaitan dengan keusahawanan, pertanian dan ternakan.

    Semasa masih dalam perkhidmatan, Aron juga telah mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian dan ternakan dengan mengusahakan tanaman sawit dan ternakan lembu tenusu dan pedaging.

    Malah, beliau pernah menjalankan ternakan rusa yang merupakan antara yang paling awal diusahakannya dan kini diurus di bawah Projek Wawasan Keluarga.

    Rentetan itu juga, beliau pada suatu hari tertarik selepas membaca mengenai industri ternakan lintah, belut, ikan keli dan ikan haruan.

    "Setelah mengetahui melalui pembacaan bahawa ternakan lintah mampu memberikan pulangan lumayan, saya mengambil keputusan menceburkan diri secara serius.

    ''Sebelum itu saya menyertai kursus pembiakan lintah yang diadakan pada 26 Julai lalu di Kota Kinabalu yang dianjurkan oleh sebuah syarikat dari Negeri Sembilan," katanya.

    Selepas mengikuti kursus, Aron tidak menunggu lama apabila memulakan ternakan lintah sebanyak 1,200 ekor yang dilaksanakan secara bersepadu dengan ternakan belut dan ikan keli di halaman rumahnya di Kampung Kota Ayangan.

    Projek tersebut dijadikan sebagai Projek Wawasan Keluarga Agrotik di bawah fasa kedua Projek Wawasan Keluarga selepas ternakan rusa.

    Aron memberitahu, menternak lintah adalah mudah berbanding dengan ternakan yang lain kerana tidak memerlukan kawasan yang luas serta boleh diternak dalam besin besar.

    Makanannya pula adalah rumpai air seperti kiambang dan sebagainya selain darah belut dan ikan keli yang diternak secara bersepadu.

    Daripada proses pembiakannya, Aron menjelaskan seekor lintah betina boleh menghasilkan anak 500 ekor dan matang dalam tempoh enam bulan.

    Harganya di pasaran kini antara RM80 dan RM150 sekilogram berbanding RM50 pada Januari hingga Mei lalu.

    Selain menternak lintah, Aron juga membuat percubaan menternak cacing sebagai satu lagi usaha untuk menambah pendapatan keluarganya.

    Sejarah Aron dalam perkhidmatan awam bermula sebagai guru sandaran sebelum masuk Maktab Perguruan pada 1974 dan kemudian menyambung ke peringkat ijazah pada tahun 1982.

    Selain memegang jawatan pengetua di beberapa sekolah di Sabah, beliau juga pernah memegang jawatan Pegawai Pelajaran Gabungan Keningau sebelum dilantik Pengarah, Institut Perguruan Keningau.

    ''Saya yakin ternakan lintah mampu memberi pulangan lumayan kerana permintaannya di pasaran amat tinggi pada masa ini berdasarkan kegunaannya untuk rawatan kosmetik," katanya. - Utusan Malaysia

    Pokok vanila bakal jadi komoditi negara

    SERDANG - Tanaman vanila mungkin akan menjadi salah satu komoditi utama negara selepas ini berikutan pertambahan mendadak jumlah ladang tanaman itu ketika ini.

    Ia bukanlah sesuatu yang mustahil memandangkan ramai usahawan tani mula beralih kepada penanaman pokok vanila yang mampu menjana pendapatan antara RM3,000 dan RM5,000 sebulan.

    Ketua Pegawai Eksekutif, Rentak Timur Sdn. Bhd., Syed Isa Syed Alwi berkata, sejak dua tahun lalu pihaknya telah memulakan tanaman vanila di 100 lokasi di sekitar Johor, Kedah, Sabah, Sarawak dan Negeri Sembilan.

    "Setakat ini, kami mendapat maklum balas yang menggalakkan daripada para pengusaha yang terlibat walaupun ia baru diperkenalkan di negara ini berbanding tanaman lain seperti getah dan kelapa sawit.

    "Selain boleh dilakukan secara separuh masa, pokok vanila juga agak lasak dan sesuai dengan iklim Malaysia di samping mampu dituai dalam tempoh tiga tahun sahaja," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Vanila Malaysia Pasaran Dunia dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Vanilla Biomatrix Sdn. Bhd. di sini semalam.

    Tambah Syed Isa, pihaknya menyasarkan penanaman sebanyak lima juta pokok vanila dengan melibatkan kawasan seluas 1,011.7 hektar dalam tempoh dua tahun akan datang sekali gus menjadikan Malaysia pengeluar utama tanaman itu selepas Madagascar dan Indonesia.

    "Selain mudah ditanam, pokok vanila juga memerlukan kawasan pertanian yang agak minimum berbanding sektor-sektor lain iaitu 0.607 hektar bagi tiap-tiap 1,000 pokok.

    "Bagi memastikan hasrat itu tercapai, kami telah menjalinkan kerjasama dengan UPM, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta MHC bagi membuat kajian serta meningkatkan kualiti tanaman di samping menarik lebih ramai usahawan tani berkecimpung dalam perusahaan ini," ujarnya.

    Sementara itu, Ismadi berkata, pihaknya akan memperkenalkan sistem Ladang Kontrak untuk menggalakkan penglibatan usahawan dengan tanaman berkenaan. - Kosmo

    Usahawan Cendawan Tiram Johor

    MUAR 7 Julai – Pada asalnya beliau seorang kontraktor membina beberapa buah rumah atau bangsal tanaman cendawan di sekitar daerah ini.

    Namun, setelah melihat sendiri bagaimana rumah cendawan itu beroperasi, Rashid Elias, 38, tertarik dan bertekad menceburi tanaman cendawan tiram kelabu yang kini diusahakannya di sebuah kawasan di Kampung Tengah, Sungai Terap di sini sejak awal tahun ini.

    Cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya ‘Pleurotus sajor-cabu’ yang diusahakan oleh Rashid itu merupakan salah satu daripada tiga jenis cendawan tiram yang ditanam di negara ini selain cendawan tiram putih dan cendawan tiram abalone.

    Berbekalkan modal sebanyak RM100,000, beliau membina sebuah rumah cendawan seluas 9.6 meter x 43.2 meter yang mampu memuatkan 50,000 bongkah beg tanaman cendawan yang disusun dalam rak-rak kayu.

    “Meskipun baru dalam bidang ini, saya sentiasa mempelajari sesuatu yang baru mengenai tanaman cendawan setiap hari dan apa yang saya nampak ialah tanaman cendawan ini agak rumit tetapi menyeronokkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pusat tanaman cendawan beliau, di sini baru-baru ini.

    Menerusi syarikat Wirajaya Marketing yang dikendalikannya, Rashid yang menubuhkan syarikat itu sejak tahun 2002 kini mula mengusahakan tanaman cendawan dengan mengupah 15 pekerja yang terdiri daripada penduduk kampung terbabit.

    Proses tanaman cendawan tiram kelabu, katanya, memerlukan penggunaan habuk kayu getah serta beberapa campuran lain termasuk dedak padi serta kapur pertanian bagi mengelak daripada ianya menjadi masam.

    Menurut Rashid, untuk memulakan tanaman cendawan ini, kesemua bahan itu perlu digaul dan dicampur dengan air sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik khas yang berukuran 15.8 x 36.2 sentimeter (sm).

    “Selepas itu, beg plastik tersebut akan dikukus dalam alat khas selama enam jam sebelum disejukkan selama 12 jam dan kemudiannya disuntik dengan benih cendawan.

    “Beg-beg itu kemudian akan disusun dalam rumah cendawan untuk proses pengeraman selama 55 hingga 60 hari dan kemudian benih yang asal itu akan dibuang,” jelasnya.

    Katanya, bongkah-bongkah cendawan yang dikawal suhunya itu akan mula mengeluarkan hasil selepas empat ke lima hari benihnya dibuang. Setiap beg bongkah itu pula, katanya, akan mengeluarkan cendawan antara 200 hingga 300 gram bergantung kepada kesuburan benih dan ianya kemudian akan dipetik dan dibungkuskan sebelum dijual di pasaran.

    Menurut Rashid, kesemua hasil tanaman itu akan dipasarkan ke pasar-pasar tani dan kedai runcit dan sepanjang pengalamannya mengusahakan tanaman itu, setiap 10,000 bongkah beg mampu menghasilkan 1.6 tan cendawan. - Utusan Malaysia

    Gembleng potensi graduan ceburi pertanian

    KETABAHAN, kecekalan dan semangat ingin maju merupakan senjata utama untuk bergelar usahawan tani berkualiti. Justeru, wujud pelbagai cabaran dalam melahirkan graduan usahawan tani yang mampu mengikis tanggapan buruk masyarakat kononnya graduan tidak sesuai menceburi bidang tersebut.

    Ia menjadi cabaran bagi Persatuan Usahawan Graduan Malaysia (PUGM) supaya graduan menceburi pertanian dipandang positif oleh masyarakat.

    Dengan melibatkan diri dalam pertanian secara sepenuh masa secara komersial, setiap graduan yang berdaftar akan dibantu dalam segala hal agar mereka mampu berdikari dan seterusnya menjadi idola kepada rakan-rakan graduan yang lain.

    Presiden PUGM, Muzamir Mustafa berkata, kesemua graduan yang menyertai PUGM adalah mereka yang sememangnya meminati bidang pertanian tetapi tidak mempunyai modal untuk meneruskan minat mereka.

    Dengan menyertai PUGM, Muzamir menambah, mereka dibiayai oleh Bahagian Pembangunan Usahawan Mara dan Agro Bank yang mengiktiraf modul program PUGM dengan pinjaman permulaan RM50,000 bagi seorang peserta di bawah projek perintis usahawan tani Kementerian Belia dan Sukan.

    Setiap graduan yang mendaftar sebagai ahli katanya, akan diberi kursus sebelum mereka boleh memulakan projek pertanian dan sementara menunggu pinjaman diluluskan dalam tempoh dua bulan, mereka akan ditempatkan di tapak projek PUGM di Projek Pertanian Moden Kluang (PPMK).

    ''Mereka akan diberi pendedahan tentang teknik tanaman secara moden selain penjagaan dan bagaimana mahu menjadikan pertanian sebagai perniagaan kerana pertanian mampu mendatangkan hasil lumayan,'' jelasnya.

    Tambahnya lagi, selama dua bulan itu mereka akan diberi elaun RM500 seorang dan apabila pinjaman mereka diluluskan, mereka akan diberi tapak bersaiz 120 x 140 kaki siap dengan rumah lindungan hujan untuk memulakan projek pertanian moden mereka.

    Buat masa ini Muzamir berkata, PUGM mempunyai tanaman buah naga dan rock melon di tapak berkeluasan 20 hektar di PPMK yang telah membuahkan hasil sejak diusahakan dua tahun lalu.

    Setakat ini juga katanya, PUGM telah lahirkan lebih 10 graduan usahawan tani yang berjaya dan boleh dicontohi di seluruh Malaysia.

    Bagi graduan yang telah berjaya katanya, pihak MARA dan Agro Bank tidak akan teragak-agak untuk memberi pembiayaan berterusan sekiranya rekod pembiayaan terdahulu mencatat pembayaran balik yang bagus.

    ''Mereka boleh mendapat pembiayaan sehingga RM300,000 sekiranya rekod bagus dan berpotensi untuk berkembang maju," jelasnya kepada Utusan Malaysia.

    Menurut Muzamir lagi, setakat ini terdapat 500 ahli PUGM di seluruh Malaysia yang melibatkan diri dalam bidang penternakan dan tanaman pelbagai hasil pertanian secara moden.

    Muzamir yang juga Pengerusi PPMK mempunyai wawasan tersendiri untuk PUGM yang mana tapak seluas 0.2 hektar di tapak projek PUGM itu akan dibina sebuah chalet yang boleh memuatkan 50 peserta kursus pada sesuatu masa..

    Tambahnya, ia akan dijadikan tempat kuliah, agro pelancongan serta kursus di ladang dan juga dijadikan tempat pengumpulan hasil ladang yang mana kesemua hasil ladang PUGM akan diselenggarakan oleh PUGM Holding Sdn. Bhd. bagi mengelak penggunaan orang tengah.

    Buat masa ini katanya, hasil pertanian PUGM di hantar ke pasaran tempatan dan luar negara seperti ke Singapura.

    Terkini tambah beliau, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat telah melawat ladang PUGM bagi mencari ruang dan peluang untuk sama-sama menimba ilmu bagi membangunkan wanita terutama ibu tunggal dalam bidang pertanian.

    ''PUGM bersedia untuk memberi khidmat sebagai mentor kepada ibu tunggal dan warga miskin dalam projek yang dijangka akan diusahakan tidak lama lagi iaitu penanaman cili secara fertigasi dan rock melon," ujarnya.

    Tambahnya, rock melon dan cili dipilih kerana masa untuk memungut hasil singkat dan pulangannya lumayan. - Utusan Malaysia

    Anugerah pembakar semangat usahawan tani

    KOTA KINABALU 7 Julai - Beberapa penerima Anugerah Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2008 di Tapak Pemasaran Koperasi Pembangunan Desa, dekat sini, menyifatkan anugerah itu sebagai satu penghargaan yang sangat istimewa.

    Menurut mereka, hanya melalui anugerah tersebut yang terbahagi kepada 12 kategori, segala penat lelah mereka selama ini dihargai selain turut meningkatkan semangat untuk berusaha dengan lebih gigih.

    Bagi Kiden Anak Benang @ Jeffrey, 64, dari Kampung Iban, Merotai yang memenangi kategori Peladang Jaya Lelaki Tahun 2008 dia tidak pernah menyangka segala usahanya diberi pengiktirafan.

    Katanya, ini kerana, tanaman cendawan yang dimulakan sebelum ini di pekarangan rumahnya hanya untuk mengisi masa lapang dan dijual secara kecil-kecilan kepada penduduk berdekatan.

    "Saya tidak pernah terfikir menerima anugerah ini, bagaimanapun saya berterima kasih kepada kerajaan yang banyak membantu saya," katanya yang mula terlibat sebagai usahawan cendawan pada tahun 2002.

    Setelah mendapat sambutan menggalakkan, kata bapa kepada lima orang anak itu, dia nekad untuk mengusahakannya secara komersial dan pada 2003, dia menyewa bangunan tiga tingkat untuk tujuan penanaman itu.

    Katanya yang kini memperoleh pendapatan RM12,000 sebulan, tanaman yang diusahakan dalam bangunan tersebut mampu menghasilkan sehingga 50,000 beg cendawan sebulan.

    Hasil cendawannya kata Kideng, dihantar ke pasar raya, restoran dan beberapa kedai makan di seluruh Merotai dan Tawau dan kadangkala tidak mampu memenuhi permintaan mereka.

    Bagi penerima Anugerah Persatuan Nelayan Jaya Tahun 2008, Ku Sahiri Mohd. Tarmizi, 55, dari Sandakan berkata, anugerah tersebut membakar semangat Persatuan Nelayan Sandakan yang diterajuinya.

    Katanya, persatuan tersebut yang ditubuhkan pada 1994 dan mempunyai 795 ahli amat berbesar hati dengan anugerah itu dan merancang untuk merancakkan lagi aktiviti persatuan tersebut.

    "Perlu diketahui, persatuan ini memberi bantuan kepada ahli-ahli Kumpulan Wanita Nelayan (Kunita) melalui perusahaan kecil seperti membuat keropok dan serunding untuk dipasarkan," katanya.

    Menurut Ku Sahiri, hasil tersebut mampu menjana pendapatan golongan suri rumah antara RM300 hingga RM500 sebulan dan ia bergantung kepada permintaan semasa.

    Sementara penerima Anugerah Unit Peladang Jaya Tahun 2008, Jumah Durasik, 48, dari Tuaran dan merupakan ketua unit itu berkata, anugerah tersebut memberi harapan baru terhadap 57 ahlinya.

    Katanya, harapan baru itu berupa cetusan semangat untuk menambah perusahaan sedia ada dan mengusakannya secera lebih komersil dan berdaya saing pada masa hadapan.

    "Sekarang ini unit kami mengusahakan ternakan seperti kupang, tiram, ikan dalam sangkar, menanam sayur dan lain-lain yang semuanya dibuat secara sampingan untuk menambah pendapatan," katanya.

    Dengan adanya pengiktiran itu katanya, akan memberi motivasi kepada seluruh ahlinya untuk menceburkan diri dalam perusahaan yang dirasakan sesuai dengan minat dan kemampuan mereka. - Utusan Malaysia

    Pakar bidang IT terjun ke kolam ternakan

    Bukan mudah bagi seorang yang sudah lama berkecimpung dengan bidang yang diminati, tiba-tiba sahaja mengambil keputusan untuk beralih arah.

    Berkecimpung dalam perniagaan komputer sejak 1986 dengan memiliki ijazah sarjana muda dalam sistem pengurusan maklumat dan pemasaran serta ijazah sarjana bidang perniagaan (MBA) dari Amerika Syarikat, sepatutnya sudah memberi jaminan hidup tetapi empunya diri enggan meneruskan kerjaya dalam bidang berkenaan.

    ''Saya sudah bosan," katanya ringkas ketika ditanya sebab meninggal bidang glamor itu.

    Bagi Hanafiah Abdul Rahman, 47, usahawan akuakultur yang ditemui Mega di ladangnya di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini, beliau menceburi bidang penternakan ikan adalah kerana minat semata-mata..

    Hanafiah, anak kelahiran Kampung Sri Terubok, Masjid Tanah, Melaka, memberitahu, meskipun tidak mempunyai kemahiran dalam industri akuakultur tetapi usaha gigih memperoleh maklumat dan pengetahuan daripada pelbagai sumber.

    Antara sumber rujukannya ialah kajian universiti, rakan penternak Kampuchea di Pekan Pahang dan di Cheroh, Raub, serta penternak bangsa Cina di Malaysia dan di Thailand, selain Internet.

    Selepas ilmu penuh di dada, Hanafiah dengan yakin menubuhkan syarikat Dimensi Rebana Sdn Bhd. yang memulakan operasi pada 2006.

    Ketika itu, tujuan asal perniagaannnya ialah menjual ikan air tawar ke restoran makanan laut Cina di sekitar Lembah Klang, Gohtong Jaya, Bukit Tinggi dan Karak, Pahang.

    Ketika inilah beliau mula memahami selok belok perniagaan dan pasaran ikan termasuk cara menghantar, kaedah penyimpanan, putaran perniagaan, kerenah pembeli, orang tengah dan pelbagai aspek lain.

    Dengan beroperasi dari sebuah rumah kedai di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, perniagaan pembekalan ikan air tawar Hanafiah semakin hari semakin semakin dikenali.

    Namun beliau tidak berpuas hati kerana selalu menghadapi masalah bekalan yang berterusan, lantas memberi idea untuk mengembangkan sayap perniagaan kepada aktiviti baru iaitu menternak sendiri ikan tersebut.

    Hanafiah mengambil keputusan menternak pelbagai spesies ikan iaitu ketutu, krai, tengalan dan haruan.

    ''Banyak masalah kami hadapi kerana kurang ilmu pengetahuan dalam teknologi penternakan serta makanan dan paling membelenggu ialah kesukaran mendapat benih, '' katanya.

    Sebab itu, keputusannya untuk mengusahakan sendiri ternakan tepat pada masanya memandangkan bekalan benih menjadi masalah besar kepada penternak.

    Beliau menganggarkan pelaburan membina infrastruktur menghampiri angka RM500,000 dan ia boleh dianggap berbaloi kerana melibatkan banyak spesies ikan untuk dibiakkan.

    Pada masa ini, Dimensi Rebana memiliki ladang di Kampung Bukit Kecil, Simpor, Tikam Batu Sungai Petani yang dilengkapi dengan 17 buah kolam konkrit bersaiz 20 kaki x 100 kaki x 2 kaki.

    Selain itu, ladang terbabit juga mempunyai enam unit kolam bersaiz 10 kaki x 20 kaki x empat kaki yang semuanya digunakan untuk ternakan ikan ketutu.

    Tiga unit daripada kolam digunakan untuk penetasan ikan sepat siam.

    Ladang tersebut kini memiliki hampir 1,200 ikan ketutu seberat antara 200 gram dan 1.2 kilogram (kg).

    Meskipun menternak ketutu sangat penting kepada ladang tersebut, infrastruktur juga ditambah untuk menternak spesies lain.

    Terdapat 20 buah kolam konkrit (ukuran 20 kaki x 25 kaki x 4 kaki) dan dua buah kolam (ukuran 20 kaki x 50 kaki x 4 kaki) untuk ternakan kira-kira ikan tengalan, Krai, ikan jelawat, induk tilapia, puyu siam, sepat siam dan ikan patin buah selain 12 unit kolam tanah yang pembenihan ikan keli dan zooplankton (Moina sp).

    Apa yang menarik, kemudahan tersebut dibina oleh syarikat terbabit tanpa membabitkan pihak luar. Ladang dan pusat pembenihan ini di uruskan oleh adik ipar Hanafiah iaitu Suhaimi Md. Isa sejak 2003 lagi.

    Syarikat terbabit kini boleh berbangga memandangkan hasrat untuk menjadi pembekal benih berjaya disempurnakan.

    Malah, permintaan sentiasa ada dan untuk tujuan itu pembenihan aruhan dijalankan untuk meningkatkan jumlah benih ikan yang diternak.

    Menurut Hanafiah, pasaran ikan sungai sentiasa ada kerana semakin ramai meminatinya tetapi bekalan agak terhad.

    Katanya, hampir 70 peratus benih ikan air adalah di import dari luar terutamanya Thailand dan Indonesia.

    Tambahan pula, ikan sungai menjadi hidangan istimewa di kalangan penggemarnya.

    Beliau kini mampu menghasilkan anak keli pada jumlah 500,000 ekor sebulan ikan ketutu pada kadar 20,000 ekor sebulan manakala ikan sepat 200,000 ekor sebulan.

    Selain membekalkan benih, Dimensi Rebana pada mulanya hanya tertumpu kepada perniagaan pemborong ikan air tawar dan air laut juga mula berjinak-jinak menceburi bidang pemakanan ikan. Selain itu syarikat juga menjual ubat ubatan dan peralatan akuakultur.

    Hanafiah berkata, beliau berjaya dalam usahanya menghasilkan sendiri pelet untuk makanan air tawar termasuk ketutu.

    Rumusan makanan ikan itu agak menarik kerana dihasilkan daripada bahan yang mudah diperoleh dan sesuai untuk diberi makan kepada ketutu, keli dan puyu.

    ''Ikan ketutu ini tidak makan pelet tetapi ada cara bagaimana menjadikannya penggemar pelet iaitu mengajarnya berpuasa terlebih dahulu sebelum memberi makan,"ujarnya.

    Pelet tersebut dihasilkan daripada ikan bilis, dedak padi, minyak ikan dan tepung ubi sebagai binder.

    Jika semuanya berjalan lancar, selain mengeluarkan anak benih, formula makanan ikan itu menjadi teras kekuatan kepada syarikat tersebut yang dibangunkan dengan bantuan rakannya.

    Ikan ketutu yang biasanya berharga kira-kira RM100 seekor seakan menjadi ternakan emas dan dianggarkan nilainya sangat tinggi.

    ''Malah di Hong Kong, pasaran ketutu sangat lumayan," ujar Hanafiah.

    Dengan kejayaan dan kemampuan sedemikian, Dimensi Rebana kian menampakkan kemampuannya dan kini menawarkan kursus ternakan ketutu selain pemprosesan makanan ikan.

    Kepakaran dalam pembenihan aruhan ikan ketutu, puyu, krai, tengalan sepat, ketam dan pelbagai spesies lagi menunjukkan kemampuan syarikat terbabit tidak boleh dipertikaikan.

    Tanpa bantuan daripada agensi perbankan, syarikat terbabit yang mempunyai jaringan hubungan rapat dengan penternak ikan di Pekan, Maran, Temerloh, Cheroh di Pahang serta Sungai Petani, Kuala Sanglang dan Tanjung Dawai di Kedah, membuktikan potensi industri akuakultur untuk dimajukan. - Utusan Malaysia