Cikgu Aron usahawan lintah

KENINGAU 27 Okt. - Kebanyakan mereka yang bersara dalam perkhidmatan awam menganggap sisa waktu yang ada adalah masa untuk berehat daripada kesibukan bekerja.

Namun sikap sedemikian bukan prinsip hidup Aron Warso, 56, iaitu bekas Pengarah Institut Perguruan Keningau yang mengambil peluang sempena persaraannya dalam perkhidmatan awam dengan melibatkan diri secara aktif dalam bidang pertanian dan ternakan.

Menurut Aron, minatnya dalam bidang pertanian dan ternakan mula tersemai semasa masih berkhidmat sebagai penjawat awam melalui pembacaan.

Beliau yang minat membaca mempunyai koleksi 350 buah buku yang berkaitan dengan keusahawanan, pertanian dan ternakan.

Semasa masih dalam perkhidmatan, Aron juga telah mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian dan ternakan dengan mengusahakan tanaman sawit dan ternakan lembu tenusu dan pedaging.

Malah, beliau pernah menjalankan ternakan rusa yang merupakan antara yang paling awal diusahakannya dan kini diurus di bawah Projek Wawasan Keluarga.

Rentetan itu juga, beliau pada suatu hari tertarik selepas membaca mengenai industri ternakan lintah, belut, ikan keli dan ikan haruan.

"Setelah mengetahui melalui pembacaan bahawa ternakan lintah mampu memberikan pulangan lumayan, saya mengambil keputusan menceburkan diri secara serius.

''Sebelum itu saya menyertai kursus pembiakan lintah yang diadakan pada 26 Julai lalu di Kota Kinabalu yang dianjurkan oleh sebuah syarikat dari Negeri Sembilan," katanya.

Selepas mengikuti kursus, Aron tidak menunggu lama apabila memulakan ternakan lintah sebanyak 1,200 ekor yang dilaksanakan secara bersepadu dengan ternakan belut dan ikan keli di halaman rumahnya di Kampung Kota Ayangan.

Projek tersebut dijadikan sebagai Projek Wawasan Keluarga Agrotik di bawah fasa kedua Projek Wawasan Keluarga selepas ternakan rusa.

Aron memberitahu, menternak lintah adalah mudah berbanding dengan ternakan yang lain kerana tidak memerlukan kawasan yang luas serta boleh diternak dalam besin besar.

Makanannya pula adalah rumpai air seperti kiambang dan sebagainya selain darah belut dan ikan keli yang diternak secara bersepadu.

Daripada proses pembiakannya, Aron menjelaskan seekor lintah betina boleh menghasilkan anak 500 ekor dan matang dalam tempoh enam bulan.

Harganya di pasaran kini antara RM80 dan RM150 sekilogram berbanding RM50 pada Januari hingga Mei lalu.

Selain menternak lintah, Aron juga membuat percubaan menternak cacing sebagai satu lagi usaha untuk menambah pendapatan keluarganya.

Sejarah Aron dalam perkhidmatan awam bermula sebagai guru sandaran sebelum masuk Maktab Perguruan pada 1974 dan kemudian menyambung ke peringkat ijazah pada tahun 1982.

Selain memegang jawatan pengetua di beberapa sekolah di Sabah, beliau juga pernah memegang jawatan Pegawai Pelajaran Gabungan Keningau sebelum dilantik Pengarah, Institut Perguruan Keningau.

''Saya yakin ternakan lintah mampu memberi pulangan lumayan kerana permintaannya di pasaran amat tinggi pada masa ini berdasarkan kegunaannya untuk rawatan kosmetik," katanya. - Utusan Malaysia

0 comments:

Post a Comment