Showing posts with label Usahawan Tani. Show all posts
Showing posts with label Usahawan Tani. Show all posts

Awang Badar buka kolam ikan air tawar

PAPAR: Kebelakangan ini, semakin banyak diperkatakan mengenai potensi sektor pertanian sebagai aktiviti ekonomi atau perniagaan berdaya maju yang menjanjikan 'kekayaan' kepada usahawan tani. Harus diakui, sektor itu mampu mengubah masa depan petani jika ada usaha dan kesungguhan membanting tulang empat kerat kerana ibarat pesan golongan terdahulu, andai berbudi pada tanah pasti ada hasilnya.

Berdasarkan potensi itu juga kerajaan mengambil inisiatif menjadikan aktiviti pertanian sebagai satu usaha membasmi kemiskinan seperti pelaksanaan projek tanaman getah di Pulau Banggi. Bukan rahsia lagi ramai petani mampu mendapat pulangan lebih RM1,000 sebulan dengan hanya mengusahakan kebun sayur, getah, kelapa sawit, kolam ternakan ikan atau ternakan seperti ayam, itik, kambing, lembu dan kerbau.

Antara yang menikmatinya ialah seorang usahawan tani dari Kampung Ambawa, di sini yang menceburi bidang pertanian sebagai aktiviti utama menyara keluarga sejak lebih 20 tahun lalu. Awang Badar Awang Ismail, 62, pengusaha kolam ikan air tawar, mengakui bidang pertanian boleh memberi kesenangan kepada sesiapa saja asalkan ada minat dan usaha. Bapa kepada enam anak ini mengakui walaupun bukan mudah untuk menjadi usahawan tani, terutama di peringkat awal tetapi apabila sudah membuahkan hasil, kepuasan yang dikecapi sukar digambarkan. "Saya berminat dalam bidang pertanian terutama menternak ikan air tawar dan saya bersyukur kerana usaha sejak 20 tahun lalu membuahkan hasil yang baik," katanya.

Bekas penerima anugerah Peladang Jaya Papar pada 1980-an dan 1990-an ini menternak ikan keli Afrika, kap, lampam jawa, jelawat dan talapia merah untuk pasaran sekitar daerah Papar dan Keningau. Keli Afrika adalah ternakan utamanya dengan keupayaan pengeluaran kira-kira 50 kilogram (kg) seminggu atau 200kg sebulan dengan pendapatan hasil jualan lebih RM2,000.

"Minat menternak ikan timbul selepas melihat kejayaan rakan saya dari Kampung Mawao di Membakut menternak ikan air tawar pada 1980-an. Saya ingin mencontohinya lalu mengambil keputusan membina kolam dengan modal sendiri. "Malah saya sanggup menempah anak ikan keli Afrika dari Kuala Lumpur untuk diternak di kolam ketika itu," katanya. Dengan modal kira-kira RM10,000, Awang Badar membina 16 kolam konkrit untuk menternak ikan keli Afrika di samping beberapa kolam lain bagi ternakan kap, lampam jawa, talapia merah dan jelawat. Kini, selain menjual ikan matang, Awang Badar turut menjual anak ikan kepada penternak ikan air tawar.

Menariknya penghasilan anak ikan menerusi proses persenyawaan benih ikan jantan dan betina dilakukan sendiri tanpa tunjuk ajar mana-mana pihak. "Saya cuma melihat kaedah penetasan anak ikan di televisyen. Dari situ saya mencubanya dan Alhamdulillah, nampaknya berjaya. "Kini saya mampu menghasilkan sehingga 4,000 anak keli pada satu masa," katanya. Selaras konsep pertanian adalah perniagaan, Awang Badar yang dibantu tiga anaknya turut memasarkan sendiri ikan ternakannya di pasar tamu mingguan di Papar.

"Walaupun memerlukan penjagaan yang rapi, namun kegiatan ini memberikan pulangan yang baik. Setiap minggu saya menjual 50kg ikan keli Afrika dan mendapat RM500. "Pasaran tiada masalah kerana ketika ini permintaan orang ramai memang banyak terutama ikan keli Afrika. Malah, ada yang sanggup datang dari Keningau ke kolam saya untuk membeli ikan," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak mampu memenuhi permintaan secara pukal berikutan bekalan yang terhad. "Ada yang datang mahu membeli sehingga 200 kilogram tetapi saya terpaksa menolak kerana ikan yang ada tidak sebanyak itu," katanya. Memandangkan permintaan yang baik, beliau berhasrat membesarkan aktiviti penternakannya dengan membina kolam tambahan bagi menampung lebih banyak ikan. Katanya, dengan dibantu tiga anaknya beliau berharap aktiviti itu dapat dikembangkan menjadi perniagaan keluarga yang dapat diteruskan.

Penggemar ikan keli dari Kampung Benoni, Papar, Rozman Abdullah, 43, berkata ternakan keli Afrika mendapat permintaan baik pengguna kerana saiznya yang besar berbanding keli lain. Bagaimanapun, katanya, bekalan ikan berkenaan belum mencukupi untuk memenuhi permintaan kerana tidak ramai petani mengusahakannya. "Setahu saya di Papar ini hanya Awang Badar yang menternak ikan berkenaan secara besar-besaran. Itu pun belum cukup menampung permintaan," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Abdul Rahim Ismail, menggalakkan usahawan tani di negeri ini mengusahakan projek akuakultur air tawar memandangkan tidak ramai yang menceburi bidang itu. Katanya, selain untuk pasaran tempatan ternakan ikan air tawar seperti talapia dan keli mempunyai nilai eksport yang baik serta menjanjikan pulangan lumayan kepada usahawan tani. Awang Badar adalah antara usahawan tani yang berjaya membuktikan bidang akuakultur air tawar mampu memberikan kesenangan kepada petani yang rajin mengusahakan tanah. - Berita Harian

Pujuk pokok kabung keluarkan nira

Pokok kabung, sejenis pokok palma berasal dari Indonesia yang dikenali juga sebagai pokok Enau atau nama botaninya, Arenga pinnata, mungkin agak pelik berbanding dengan pokok daripada spesies palma yang lain.

Pokok daripada keluarga Arecaceae ini pelik kerana semakin ia meninggi dan matang, tandan bunga dan buahnya pula tumbuh kian merendah di bahagian bawah batangnya hingga hampir mencecah tanah.

Malah, dikatakan bahawa apabila tandan yang tumbuh di batang itu sudah hampir ke tanah, menandakan bahawa pokok kabung berkenaan sudah tua dan akan mati.

Ini berbeza dengan pokok daripada spesies palma yang lain seperti pokok kelapa dan rumbia kerana tandan bunga dan buahnya akan tumbuh meninggi mengikut kematangan dan ketinggian pokok berkenaan.

Pokok kabung, yang mengeluarkan nira yang boleh diminum begitu saja atau di proses menjadi gula merah dikatakan hanya akan mengeluarkan nira daripada tandan sepadan dengan 'pujukan' yang diberikan.

Tidak semua tandan pokok kabung mengeluarkan nira kerana hanya tandan bunga jantan sahaja yang boleh 'dipujuk' untuk mengeluarkan niranya.

Tandan bunga betina pula tidak akan mengeluarkan nira meskipun dipujuk seperti tandan bunga jantan.

Kerja 'memujuk' mengikut istilah yang digunakan pemungut nira di Ladang Sungai Balung, iaitu dengan mengetuk batang tandan bunga jantan itu secara bersopan, memang berlaku berdasarkan pengalaman mereka sejak bertahun-tahun lamanya.

''Sebelum batang tandan bunga jantan dicantas, batang tandan berkenaan perlu dibersihkan daripada sebarang sisa kelopaknya.

"Selepas itu, ia perlu 'dipujuk' dengan mengetuk-ngetuk batang tandan itu ke arah atas dua kali dan arah ke bawah dua kali.

''Tujuan mengetuk berkenaan ialah bagi melonggarkan rongga-rongga saluran aliran air nira dalam batang tandan berkenaan. Kalau tidak dibuat begini air nira tidak akan keluar", kata Nurdin Baddusa, 49, yang telah menjalankan kerja mengutip air nira sejak tujuh tahun lepas.

Menurut Nurdin, ketukan pula hendaklah dibuat secara berhati-hati supaya tidak mencederakan batang tandan berkenaan.

"Jika ketukan terlalu kuat dan batang tandan tercedera, nira tidak akan keluar langsung," kata Nurdin ketika ditemui di Ladang Sungai Balung, kira-kira 60km dari sini.

Beliau adalah seorang daripada kira-kira 20 pekerja pemungut air nira di ladang berkenaan. Menurut Nurdin amalan berkenaan perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan berterusan sehingga bunga pada tandan pokok Kabung kembang.

''Apabila bunga pada tandan berkenaan sudah kembang, tandan berkenaan bolehlah dicantas dan jika aliran air niranya sudah agak deras ia boleh ditadah dengan bekas yang direka khas.

"Jika belum deras, bahagian hujung tandan yang dicantas itu perlu dihiris sebaiknya sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada waktu petang sehingga aliran niranya deras", katanya.

Nurdin berkata, nira biasanya dikutip dua kali sehari dan ada antara pokok kabung berkenaan boleh mengeluarkan sehingga 10 liter nira sehari.

Katanya, nira yang siap dikutip kemudian dihantar ke kilang pemprosesan yang terletak dalam ladang berkenaan untuk diproses menjadi sirap nira kabung (Arenga Pinnata Syrup).

"Kami memproses kira-kira 700 kg nira kabung sehari," kata Masriani Mansor, ahli teknologi makanan di kilang pemerosesen sirap nira kabung berkenaan.

Sementara itu Pengurus Besar Kebun Rimau Sdn Bhd K.Arunagirinathan yakin sirap nira kabung atau gula kabung suatu hari nanti akan menjadi satu daripada sumber gula utama di negara ini.

Menurutnya, gula kabung boleh menggantikan gula biasa dan lebih penting daripada itu ia tidak mengandungi glukosa dan baik untuk kesihatan khususnya bagi pengidap kencing manis.

''Kami sudah menanam kira-kira lebih 5,000 pokok kabung daripada jenis benih bermutu tinggi meliputi kawasan seluas kira-kira 809 hektar di Ladang Sungai Balung.

''Dalam tempoh 10 tahun dari sekarang mungkin kami perlu membina kilang memproses sirap nira kabung atau gula merah yang lebih besar.

''Saya juga yakin suatu hari nanti sirap nira kabung ini akan menjadi sumber gula utama di negara ini malah mungkin juga menjadi pilihan utama penduduk dunia kerana kebaikannya dari segi kesihatan", katanya.

Arunagirinathan berkata, sirap nira kabung yang dikeluarkan syarikat berkenaan yang kini sudah berada dalam pasaran tidak mengandungi bahan kimia atau pewarna atau perasa tiruan sebaliknya keasliannya dikekalkan.

Katanya, idea penanaman pokok kabung berkenaan secara besar-besaran bermula sembilan tahun lepas apabila pengerusi syarikat berkenaan Datuk Harris Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah membawa benih pokok berkenaan dari Indonesia.

Menurutnya, sirap nira kabung boleh dijadikan bahan masakan dalam kuih-muih tradisional, makanan dan minuman.

Antara makanan yang popular dengan campuran gula atau nira kabung ialah bubur kacang, kuih koci, kuih kelepong, dodol, wajik, agar-agar, kuih sepang, air batu campur dan cendol.

Sirap nira kabung juga boleh digunakan sebagai pemanis dalam pembuatan kek serta pastri, makanan bijirin dan jus buah-buahan. - Bernama

Bekas jurutera jadi tauke cendawan

KENIKMATAN yang diperoleh hasil berbudi dengan tanah sukar diluah dengan kata-kata. Apatah lagi seronok melihat hasil yang membanggakan dan mampu pula menggantikan pergantungan makan gaji selama 10 tahun.

Bagaimana pun kerjaya sebagai jurutera projek menyebabkan Mohd Asmawi Mohamed Noor, 33, sukar membuat keputusan sama ada meletakkan jawatan atau membabitkan diri sepenuhnya sebagai penanam cendawan di kampung halamannya, di Padang Salim, Peringat, Kota Bharu Kelantan.

''Seperti cinta yang baru berputik apabila aktiviti suka-suka membina dua rumah cendawan di kampung mula mengeluarkan hasil dan berpotensi untuk dimajukan, rasa cinta itu mula bercambah tetapi saya keliru membuat keputusan.

''Bagaimanapun lepas setahun, saya nekad terjun dalam bidang pertanian apabila tanaman cendawan di dua buah bangsal menunjukkan potensi memberangsangkan dan memberi pulangan berbaloi," ujar lulusan kejuruteraan di Institut Jerman-Malaysia (GMI), Kuala Lumpur ini.

Bersama adik iparnya Azuddin Zakaria, 33 , kini Asmawi bergelar usahawan apabila berjaya mengeluar dan memasarkan cendawan sebanyak 130 hingga 150 kilogram sehari.

Di samping itu, Asmawi turut menerokai bidang baru sebagai pembekal anak benih cendawan yang telah siap diisi dalam polibeg dengan harga RM1.20.

Sejak akhir tahun lalu pula, dia bekerjasama dengan Jabatan Pertanian negeri menganjurkan kursus penanaman cendawan kepada mana-mana pihak yang berminat selama tiga hari dengan yuran RM150 seorang.

''Dalam kursus tersebut, kami berkongsi pengalaman kepada pihak yang berminat menyertai bidang penanaman cendawan, mendedahkan teknik serta proses tanaman, membekalkan anak benih, membina rumah cendawan serta khidmat kewangan," katanya.

Akuinya, walaupun di peringkat awal, dia dan rakan kongsi kosong dengan ilmu dan kemahiran mengendalikan projek tanaman cendawan tetapi minat dan kesungguhan untuk menjayakannya terbit secara semulajadi.

''Azuddin yang menjadi rakan kongsi, saya galakkan menyertai kursus berkaitan manakala saya pula lebih dalam bidang pemasaran walaupun awalnya setiap minggu berulang alik dari tempat kerja di Shah Alam, Selangor ke kampung sebelum meletakkan jawatan pada tahun 2006," ujarnya.

Mendapat sokongan daripada Agro Bank dengan memberi modal pinjaman sebanyak RM250,000 sejak dua tahun lepas.

''Di bawah syarikat Nutri Agrotech Enterprise, buat masa ini terdapat enam rumah cendawan yang tapak asal merupakan tanah terbiar di kampung," katanya.

Bermula dengan dua rumah diperbuat dari bangsal kayu berdinding dan beratap nipah seluas 20 kaki lebar dan di tepi rumah ibunya, bermodal daripada poket sendiri, Mohd. Asmawi mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu dan bercadang menambah jenis black jelly pada masa hadapan.

''Dalam sebuah rumah cendawan seluas 20 kaki lebar dan 40 kaki panjang yang dibina daripada rangka besi dan kanvas mampu memuatkan 15,000 polibeg yang disusun atas rak-rak secara bertingkat," katanya.

Menceritakan pengalaman mengusahakan cendawan, Asmawi berkata banyak perkara baru yang jauh menyimpang daripada kerjayanya selama ini dipelajari namun perbezaan itu menarik perhatiannya.

Lokasi operasi cendawannya kebetulan berhampiran dengan kilang memproses kayu turut memudahkan Mohd. Asmawi memperoleh habuk kayu getah malah telah membantu pihak pengurusan kilang melupuskan bahan buangan tersebut dalam bentuk kitar semula.

''Proses tanaman cendawan memerlukan penggunaan habuk kayu getah yang dicampur dedak padi, kapur dan air yang dimasukkan ke dalam beg media

''Diikuti dengan proses mematikan bakteria selama tujuh jam dengan cara mengukus dan disejukkan selama 12 jam

''Selepas itu setiap beg disuntik dengan benih dalam bilik bersih dan berhawa dingin sebelum mengalami proses pemeraman selama 55 hingga 60 hari dan disusun secara mengiring atas rak di dalam rumah," ujarnya.

Tambah Mohd. Asmawi, proses pemeraman memerlukan pemantauan kerana biji benih mudah dicuri tikus yang gemar memakannya dengan cara mengorek dari hujung beg.

''Selain itu, pengusaha juga berhadapan dengan penyakit kulat hijau atau green mould dan kulat berwarna oren atau neuro spora yang menyerang isi dalam kampit menyebabkan seluruh beg tersebut berubah warna.

''Beg yang dijangkiti mesti diasingkan kerana ia mudah berjangkit dan menyebabkan gagal mengeluarkan hasil," jelasnya.

Selepas dua bulan katanya, putik atau kudup cendawan yang dikenali sebagai mycelia akan memenuhi ruang atas kampit terjuntai keluar, selepas hari ke tiga dan ke empat hasil boleh dipungut.

''Setiap polibeg mengeluarkan 200 hingga 300 gram hasil dan bergantung kepada kesuburan benih yang akan dikutip mengikut permintaan dan keadaan kelopak cendawan itu sendiri.

''Hari ke tiga paling cantik sebelum bahagian tepi kelopak cendawan berombak dan pecah dengan cara mencabut keseluruhan daripada muncung beg. Hari ke empat cendawan pada peringkat maksimum dengan kelopak lebih segar, cantik dan apabila dimakan rangup dan manis," ujarnya.

Menurut Mohd. Asmawi, tanaman yang memerlukan kawalan suhu sinar matahari itu boleh dikutip hasilnya selama tujuh kali berturut-turut sebelum direhatkan selama 15 hari sebelum hujungnya ditutup semula untuk memberi peluang kepada kampit lain mengeluarkan hasil.

Mohd. Asmawi yang mempunyai pembekal tetap menjual secara borong RM5 sekilogram (harga pasaran RM8 hingga RM10 sekilogram) untuk pasaran pasar basah dan pasar tani berhampiran.

''Tahun ini, sebanyak empat rumah lagi akan ditambah untuk memenuhi permintaan yang cukup menggalakkan daripada pembekal dan orang ramai," katanya. - Utusan Malaysia

Hasil cili lumayan

Walaupun pernah gagal mengusahakan tanaman cili merah sebelum ini, Abd. Latif Mohd. Yusof, 48, tidak pernah kenal erti putus asa.

Sebelum ini, tanaman cili yang diusahakan di Paya Kangsar, Jerantut, Pahang diserang dengan pelbagai jenis penyakit yang menyebabkan cili yang tidak dihasilkan tidak bermutu dan terpaksa dimusnahkan.

Biarpun gagal buat kali pertama, Abd. Latif tetap dengan usaha terus mengusahakan ladang cili kulai merah di tanah seluas lima ekar secara sambilan di Kampung Perian, Jerantut, Pahang.

Beliau yang membeli benih cili merah kulai di sekitar Jerantut mengusahakan ladang cili buat kali kedua memilih tanaman ini kerana harga cili yang tinggi dan permintaan yang semakin meningkat.

Walaupun baru enam bulan ditanam, cili merah yang ditanam telah mula mengeluarkan hasil kira-kira 500 kilogram cili sehari.

Beliau memasarkan cili merahnya kepada pemborong yang datang dari pasar Jerantut, Pasar Tani dan Pasar Borong Selayang, Selangor.

Bekerja sepenuh masa sebagai pemborong getah, Abd Latif berkata, tanaman cili merah memerlukan penjagaan yang rumit.

Katanya, tanaman cili merah amat terdedah kepada pelbagai risiko penyakit akibat hama, kulat, virus dan serangan pelbagai jenis serangga perosak.

"Sejak mula ditanam sehingga berbuah selepas empat bulan, pokok cili merah memerlukan kos penjagaan yang tinggi sekitar RM40,000 sehingga mengeluarkan hasil," katanya semasa ditemui di ladangnya, baru-baru ini.

Pokok cili memerlukan penjagaan dan pengurusan yang rapi dengan semburan racun serangga dilakukan setiap tiga hari.

Beliau yang mempunyai enam pekerja, menjalankan tugas pembajaan setiap minggu selain penyiraman setiap petang.

Ketika ditanya mengapa tidak mempelbagaikan tanaman dengan cili padi, Abd Latif berkata, cili padi memerlukan tenaga pekerja yang lebih banyak untuk tugas-tugas memetik cili.

"Walaupun harga cili padi lebih tinggi tetapi masa memetik cili lebih lama berbanding cili merah," katanya.

Beliau berhasrat untuk membesarkan lagi keluasan ladang cili merahnya kerana mengeluarkan hasil dalam tempoh lebih lama.

Pokok cili, kata Abd Latif, boleh mengeluarkan hasil sehingga setahun sebelum ditanam semula.

"Selepas ini, saya akan tetap terus menanam cili merah sehingga saya boleh dikatakan penanam cili merah yang berjaya di daerah Jerantut, Pahang.

"Saya akan berusaha mengawal semua jenis penyakit dan serangga yang menyerang pokok cili merah," katanya. - Utusan Malaysia

Usahawan Cacing Kemaman

Setiap kilogram cacing yang diternak akan bertambah menjadi empat kilogram dalam masa dua bulan dengan harga jualan mencecah RM450 hingga RM500 sekilogram.

“EIII!!!...geli!.” Biasanya itulah respons orang ramai apabila ternampak cacing yang dianggap kotor dan menjijikkan.

Namun, hari ini cacing bukan lagi hidupan yang lazimnya menjadi mainan kaki pancing untuk dijadikan umpan, sebaliknya ia menjadi produk perniagaan yang menguntungkan.

Salah seorang penternak cacing, Amaram Ismail, 40, mengakui ramai yang tidak percaya spesies tersebut boleh diternak dan dijadikan satu bisnes berpotensi besar.

Malah, ketika beliau memulakan perusahaan itu, ada segelintir pihak yang bersikap negatif dan memandang serong terhadap usahanya itu.

“Ramai yang ketawa apabila saya memberitahu akan mengikuti kursus penternakan cacing di Kangar, Perlis pada awal tahun lalu.

“Ada juga yang anggap saya kurang siuman kerana mahu melibatkan diri dalam perniagaan yang mereka anggap kotor dan sia-sia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanah Lot Binjai, Kemaman, Terengganu.

Melalui syarikatnya, Agro Bioline Centre, beliau kini menjadi pembekal cacing untuk pasaran luar negara terutama ke China bagi dijadikan salah satu ramuan dalam produk kosmetik.

Menurutnya, beliau sendiri tidak menyangka usahanya menternak cacing menjanjikan pendapatan lumayan dengan harga jualan mencecah RM450 hingga RM500 sekilogram (kg).

MAKANAN cacing yang diternak oleh Amaram Ismali ialah batang pisang yang dipotong dan dicampur dengan najis kambing.

Menurutnya, setiap kilogram cacing yang diternak akan bertambah menjadi empat kilogram dalam masa dua bulan.

“Sebenarnya, cacing yang diternak bukan cacing yang berasal dari negara ini tetapi diimport dari Australia,” katanya.

Penjagaan cacing tidak sukar kerana cacing tersebut akan diletakkan di dalam satu bekas yang dicampur dengan makanannya iaitu batang pisang yang dipotong dan dicampur dengan najis kambing.

Menurutnya, cacing berkenaan tidak perlu diperiksa setiap hari kerana ia tidak mudah mati.

“Cuma, apa yang perlu dibuat ialah sentiasa membasahkan cacing dan meletakkannya di tempat yang lembap. Makanan perlu ditambah seminggu sekali kerana jika habis, cacing akan merayap untuk melepaskan diri,” tambahnya.

Beliau berkata, setiap kotak yang diisi cacing perlu ditutup dengan jaring halus bagi mengelak dimasuki musuh perosak seperti semut dan kumbang.

Amaram berkata, najis cacing yang terdapat dalam bekas pula boleh dijadikan baja dan dijual pada harga sehingga RM15 sekilogram.

“Baja najis cacing boleh menyubur tanaman dan sayuran manakala airnya pula digunakan untuk menyubur pohon bunga di halaman rumah.

SETIAP kotak yang diisi cacing perlu ditutup dengan jaring halus bagi mengelak dimasuki musuh perosak seperti semut dan kumbang.

Katanya, cacing dewasa boleh membesar sehingga 12 inci panjang dan boleh bertelur sebanyak 48 biji setahun.

Beliau yang kini menjadi pembekal cacing di pantai Timur terutama Terengganu dan Pahang sentiasa sibuk memenuhi permintaan pelanggan yang tidak pernah putus.

“Maklumlah, ini adalah produk terbaru yang tidak perlu penjagaan rapi tetapi menguntungkan dan semakin mendapat permintaan yang tinggi,” tambahnya. - Kosmo

Cikgu Aron usahawan lintah

KENINGAU 27 Okt. - Kebanyakan mereka yang bersara dalam perkhidmatan awam menganggap sisa waktu yang ada adalah masa untuk berehat daripada kesibukan bekerja.

Namun sikap sedemikian bukan prinsip hidup Aron Warso, 56, iaitu bekas Pengarah Institut Perguruan Keningau yang mengambil peluang sempena persaraannya dalam perkhidmatan awam dengan melibatkan diri secara aktif dalam bidang pertanian dan ternakan.

Menurut Aron, minatnya dalam bidang pertanian dan ternakan mula tersemai semasa masih berkhidmat sebagai penjawat awam melalui pembacaan.

Beliau yang minat membaca mempunyai koleksi 350 buah buku yang berkaitan dengan keusahawanan, pertanian dan ternakan.

Semasa masih dalam perkhidmatan, Aron juga telah mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian dan ternakan dengan mengusahakan tanaman sawit dan ternakan lembu tenusu dan pedaging.

Malah, beliau pernah menjalankan ternakan rusa yang merupakan antara yang paling awal diusahakannya dan kini diurus di bawah Projek Wawasan Keluarga.

Rentetan itu juga, beliau pada suatu hari tertarik selepas membaca mengenai industri ternakan lintah, belut, ikan keli dan ikan haruan.

"Setelah mengetahui melalui pembacaan bahawa ternakan lintah mampu memberikan pulangan lumayan, saya mengambil keputusan menceburkan diri secara serius.

''Sebelum itu saya menyertai kursus pembiakan lintah yang diadakan pada 26 Julai lalu di Kota Kinabalu yang dianjurkan oleh sebuah syarikat dari Negeri Sembilan," katanya.

Selepas mengikuti kursus, Aron tidak menunggu lama apabila memulakan ternakan lintah sebanyak 1,200 ekor yang dilaksanakan secara bersepadu dengan ternakan belut dan ikan keli di halaman rumahnya di Kampung Kota Ayangan.

Projek tersebut dijadikan sebagai Projek Wawasan Keluarga Agrotik di bawah fasa kedua Projek Wawasan Keluarga selepas ternakan rusa.

Aron memberitahu, menternak lintah adalah mudah berbanding dengan ternakan yang lain kerana tidak memerlukan kawasan yang luas serta boleh diternak dalam besin besar.

Makanannya pula adalah rumpai air seperti kiambang dan sebagainya selain darah belut dan ikan keli yang diternak secara bersepadu.

Daripada proses pembiakannya, Aron menjelaskan seekor lintah betina boleh menghasilkan anak 500 ekor dan matang dalam tempoh enam bulan.

Harganya di pasaran kini antara RM80 dan RM150 sekilogram berbanding RM50 pada Januari hingga Mei lalu.

Selain menternak lintah, Aron juga membuat percubaan menternak cacing sebagai satu lagi usaha untuk menambah pendapatan keluarganya.

Sejarah Aron dalam perkhidmatan awam bermula sebagai guru sandaran sebelum masuk Maktab Perguruan pada 1974 dan kemudian menyambung ke peringkat ijazah pada tahun 1982.

Selain memegang jawatan pengetua di beberapa sekolah di Sabah, beliau juga pernah memegang jawatan Pegawai Pelajaran Gabungan Keningau sebelum dilantik Pengarah, Institut Perguruan Keningau.

''Saya yakin ternakan lintah mampu memberi pulangan lumayan kerana permintaannya di pasaran amat tinggi pada masa ini berdasarkan kegunaannya untuk rawatan kosmetik," katanya. - Utusan Malaysia

Pokok vanila bakal jadi komoditi negara

SERDANG - Tanaman vanila mungkin akan menjadi salah satu komoditi utama negara selepas ini berikutan pertambahan mendadak jumlah ladang tanaman itu ketika ini.

Ia bukanlah sesuatu yang mustahil memandangkan ramai usahawan tani mula beralih kepada penanaman pokok vanila yang mampu menjana pendapatan antara RM3,000 dan RM5,000 sebulan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rentak Timur Sdn. Bhd., Syed Isa Syed Alwi berkata, sejak dua tahun lalu pihaknya telah memulakan tanaman vanila di 100 lokasi di sekitar Johor, Kedah, Sabah, Sarawak dan Negeri Sembilan.

"Setakat ini, kami mendapat maklum balas yang menggalakkan daripada para pengusaha yang terlibat walaupun ia baru diperkenalkan di negara ini berbanding tanaman lain seperti getah dan kelapa sawit.

"Selain boleh dilakukan secara separuh masa, pokok vanila juga agak lasak dan sesuai dengan iklim Malaysia di samping mampu dituai dalam tempoh tiga tahun sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Seminar Vanila Malaysia Pasaran Dunia dan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Vanilla Biomatrix Sdn. Bhd. di sini semalam.

Tambah Syed Isa, pihaknya menyasarkan penanaman sebanyak lima juta pokok vanila dengan melibatkan kawasan seluas 1,011.7 hektar dalam tempoh dua tahun akan datang sekali gus menjadikan Malaysia pengeluar utama tanaman itu selepas Madagascar dan Indonesia.

"Selain mudah ditanam, pokok vanila juga memerlukan kawasan pertanian yang agak minimum berbanding sektor-sektor lain iaitu 0.607 hektar bagi tiap-tiap 1,000 pokok.

"Bagi memastikan hasrat itu tercapai, kami telah menjalinkan kerjasama dengan UPM, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta MHC bagi membuat kajian serta meningkatkan kualiti tanaman di samping menarik lebih ramai usahawan tani berkecimpung dalam perusahaan ini," ujarnya.

Sementara itu, Ismadi berkata, pihaknya akan memperkenalkan sistem Ladang Kontrak untuk menggalakkan penglibatan usahawan dengan tanaman berkenaan. - Kosmo

Usahawan Cendawan Tiram Johor

MUAR 7 Julai – Pada asalnya beliau seorang kontraktor membina beberapa buah rumah atau bangsal tanaman cendawan di sekitar daerah ini.

Namun, setelah melihat sendiri bagaimana rumah cendawan itu beroperasi, Rashid Elias, 38, tertarik dan bertekad menceburi tanaman cendawan tiram kelabu yang kini diusahakannya di sebuah kawasan di Kampung Tengah, Sungai Terap di sini sejak awal tahun ini.

Cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya ‘Pleurotus sajor-cabu’ yang diusahakan oleh Rashid itu merupakan salah satu daripada tiga jenis cendawan tiram yang ditanam di negara ini selain cendawan tiram putih dan cendawan tiram abalone.

Berbekalkan modal sebanyak RM100,000, beliau membina sebuah rumah cendawan seluas 9.6 meter x 43.2 meter yang mampu memuatkan 50,000 bongkah beg tanaman cendawan yang disusun dalam rak-rak kayu.

“Meskipun baru dalam bidang ini, saya sentiasa mempelajari sesuatu yang baru mengenai tanaman cendawan setiap hari dan apa yang saya nampak ialah tanaman cendawan ini agak rumit tetapi menyeronokkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pusat tanaman cendawan beliau, di sini baru-baru ini.

Menerusi syarikat Wirajaya Marketing yang dikendalikannya, Rashid yang menubuhkan syarikat itu sejak tahun 2002 kini mula mengusahakan tanaman cendawan dengan mengupah 15 pekerja yang terdiri daripada penduduk kampung terbabit.

Proses tanaman cendawan tiram kelabu, katanya, memerlukan penggunaan habuk kayu getah serta beberapa campuran lain termasuk dedak padi serta kapur pertanian bagi mengelak daripada ianya menjadi masam.

Menurut Rashid, untuk memulakan tanaman cendawan ini, kesemua bahan itu perlu digaul dan dicampur dengan air sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik khas yang berukuran 15.8 x 36.2 sentimeter (sm).

“Selepas itu, beg plastik tersebut akan dikukus dalam alat khas selama enam jam sebelum disejukkan selama 12 jam dan kemudiannya disuntik dengan benih cendawan.

“Beg-beg itu kemudian akan disusun dalam rumah cendawan untuk proses pengeraman selama 55 hingga 60 hari dan kemudian benih yang asal itu akan dibuang,” jelasnya.

Katanya, bongkah-bongkah cendawan yang dikawal suhunya itu akan mula mengeluarkan hasil selepas empat ke lima hari benihnya dibuang. Setiap beg bongkah itu pula, katanya, akan mengeluarkan cendawan antara 200 hingga 300 gram bergantung kepada kesuburan benih dan ianya kemudian akan dipetik dan dibungkuskan sebelum dijual di pasaran.

Menurut Rashid, kesemua hasil tanaman itu akan dipasarkan ke pasar-pasar tani dan kedai runcit dan sepanjang pengalamannya mengusahakan tanaman itu, setiap 10,000 bongkah beg mampu menghasilkan 1.6 tan cendawan. - Utusan Malaysia

Gembleng potensi graduan ceburi pertanian

KETABAHAN, kecekalan dan semangat ingin maju merupakan senjata utama untuk bergelar usahawan tani berkualiti. Justeru, wujud pelbagai cabaran dalam melahirkan graduan usahawan tani yang mampu mengikis tanggapan buruk masyarakat kononnya graduan tidak sesuai menceburi bidang tersebut.

Ia menjadi cabaran bagi Persatuan Usahawan Graduan Malaysia (PUGM) supaya graduan menceburi pertanian dipandang positif oleh masyarakat.

Dengan melibatkan diri dalam pertanian secara sepenuh masa secara komersial, setiap graduan yang berdaftar akan dibantu dalam segala hal agar mereka mampu berdikari dan seterusnya menjadi idola kepada rakan-rakan graduan yang lain.

Presiden PUGM, Muzamir Mustafa berkata, kesemua graduan yang menyertai PUGM adalah mereka yang sememangnya meminati bidang pertanian tetapi tidak mempunyai modal untuk meneruskan minat mereka.

Dengan menyertai PUGM, Muzamir menambah, mereka dibiayai oleh Bahagian Pembangunan Usahawan Mara dan Agro Bank yang mengiktiraf modul program PUGM dengan pinjaman permulaan RM50,000 bagi seorang peserta di bawah projek perintis usahawan tani Kementerian Belia dan Sukan.

Setiap graduan yang mendaftar sebagai ahli katanya, akan diberi kursus sebelum mereka boleh memulakan projek pertanian dan sementara menunggu pinjaman diluluskan dalam tempoh dua bulan, mereka akan ditempatkan di tapak projek PUGM di Projek Pertanian Moden Kluang (PPMK).

''Mereka akan diberi pendedahan tentang teknik tanaman secara moden selain penjagaan dan bagaimana mahu menjadikan pertanian sebagai perniagaan kerana pertanian mampu mendatangkan hasil lumayan,'' jelasnya.

Tambahnya lagi, selama dua bulan itu mereka akan diberi elaun RM500 seorang dan apabila pinjaman mereka diluluskan, mereka akan diberi tapak bersaiz 120 x 140 kaki siap dengan rumah lindungan hujan untuk memulakan projek pertanian moden mereka.

Buat masa ini Muzamir berkata, PUGM mempunyai tanaman buah naga dan rock melon di tapak berkeluasan 20 hektar di PPMK yang telah membuahkan hasil sejak diusahakan dua tahun lalu.

Setakat ini juga katanya, PUGM telah lahirkan lebih 10 graduan usahawan tani yang berjaya dan boleh dicontohi di seluruh Malaysia.

Bagi graduan yang telah berjaya katanya, pihak MARA dan Agro Bank tidak akan teragak-agak untuk memberi pembiayaan berterusan sekiranya rekod pembiayaan terdahulu mencatat pembayaran balik yang bagus.

''Mereka boleh mendapat pembiayaan sehingga RM300,000 sekiranya rekod bagus dan berpotensi untuk berkembang maju," jelasnya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Muzamir lagi, setakat ini terdapat 500 ahli PUGM di seluruh Malaysia yang melibatkan diri dalam bidang penternakan dan tanaman pelbagai hasil pertanian secara moden.

Muzamir yang juga Pengerusi PPMK mempunyai wawasan tersendiri untuk PUGM yang mana tapak seluas 0.2 hektar di tapak projek PUGM itu akan dibina sebuah chalet yang boleh memuatkan 50 peserta kursus pada sesuatu masa..

Tambahnya, ia akan dijadikan tempat kuliah, agro pelancongan serta kursus di ladang dan juga dijadikan tempat pengumpulan hasil ladang yang mana kesemua hasil ladang PUGM akan diselenggarakan oleh PUGM Holding Sdn. Bhd. bagi mengelak penggunaan orang tengah.

Buat masa ini katanya, hasil pertanian PUGM di hantar ke pasaran tempatan dan luar negara seperti ke Singapura.

Terkini tambah beliau, Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat telah melawat ladang PUGM bagi mencari ruang dan peluang untuk sama-sama menimba ilmu bagi membangunkan wanita terutama ibu tunggal dalam bidang pertanian.

''PUGM bersedia untuk memberi khidmat sebagai mentor kepada ibu tunggal dan warga miskin dalam projek yang dijangka akan diusahakan tidak lama lagi iaitu penanaman cili secara fertigasi dan rock melon," ujarnya.

Tambahnya, rock melon dan cili dipilih kerana masa untuk memungut hasil singkat dan pulangannya lumayan. - Utusan Malaysia

Anugerah pembakar semangat usahawan tani

KOTA KINABALU 7 Julai - Beberapa penerima Anugerah Sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2008 di Tapak Pemasaran Koperasi Pembangunan Desa, dekat sini, menyifatkan anugerah itu sebagai satu penghargaan yang sangat istimewa.

Menurut mereka, hanya melalui anugerah tersebut yang terbahagi kepada 12 kategori, segala penat lelah mereka selama ini dihargai selain turut meningkatkan semangat untuk berusaha dengan lebih gigih.

Bagi Kiden Anak Benang @ Jeffrey, 64, dari Kampung Iban, Merotai yang memenangi kategori Peladang Jaya Lelaki Tahun 2008 dia tidak pernah menyangka segala usahanya diberi pengiktirafan.

Katanya, ini kerana, tanaman cendawan yang dimulakan sebelum ini di pekarangan rumahnya hanya untuk mengisi masa lapang dan dijual secara kecil-kecilan kepada penduduk berdekatan.

"Saya tidak pernah terfikir menerima anugerah ini, bagaimanapun saya berterima kasih kepada kerajaan yang banyak membantu saya," katanya yang mula terlibat sebagai usahawan cendawan pada tahun 2002.

Setelah mendapat sambutan menggalakkan, kata bapa kepada lima orang anak itu, dia nekad untuk mengusahakannya secara komersial dan pada 2003, dia menyewa bangunan tiga tingkat untuk tujuan penanaman itu.

Katanya yang kini memperoleh pendapatan RM12,000 sebulan, tanaman yang diusahakan dalam bangunan tersebut mampu menghasilkan sehingga 50,000 beg cendawan sebulan.

Hasil cendawannya kata Kideng, dihantar ke pasar raya, restoran dan beberapa kedai makan di seluruh Merotai dan Tawau dan kadangkala tidak mampu memenuhi permintaan mereka.

Bagi penerima Anugerah Persatuan Nelayan Jaya Tahun 2008, Ku Sahiri Mohd. Tarmizi, 55, dari Sandakan berkata, anugerah tersebut membakar semangat Persatuan Nelayan Sandakan yang diterajuinya.

Katanya, persatuan tersebut yang ditubuhkan pada 1994 dan mempunyai 795 ahli amat berbesar hati dengan anugerah itu dan merancang untuk merancakkan lagi aktiviti persatuan tersebut.

"Perlu diketahui, persatuan ini memberi bantuan kepada ahli-ahli Kumpulan Wanita Nelayan (Kunita) melalui perusahaan kecil seperti membuat keropok dan serunding untuk dipasarkan," katanya.

Menurut Ku Sahiri, hasil tersebut mampu menjana pendapatan golongan suri rumah antara RM300 hingga RM500 sebulan dan ia bergantung kepada permintaan semasa.

Sementara penerima Anugerah Unit Peladang Jaya Tahun 2008, Jumah Durasik, 48, dari Tuaran dan merupakan ketua unit itu berkata, anugerah tersebut memberi harapan baru terhadap 57 ahlinya.

Katanya, harapan baru itu berupa cetusan semangat untuk menambah perusahaan sedia ada dan mengusakannya secera lebih komersil dan berdaya saing pada masa hadapan.

"Sekarang ini unit kami mengusahakan ternakan seperti kupang, tiram, ikan dalam sangkar, menanam sayur dan lain-lain yang semuanya dibuat secara sampingan untuk menambah pendapatan," katanya.

Dengan adanya pengiktiran itu katanya, akan memberi motivasi kepada seluruh ahlinya untuk menceburkan diri dalam perusahaan yang dirasakan sesuai dengan minat dan kemampuan mereka. - Utusan Malaysia

Pakar bidang IT terjun ke kolam ternakan

Bukan mudah bagi seorang yang sudah lama berkecimpung dengan bidang yang diminati, tiba-tiba sahaja mengambil keputusan untuk beralih arah.

Berkecimpung dalam perniagaan komputer sejak 1986 dengan memiliki ijazah sarjana muda dalam sistem pengurusan maklumat dan pemasaran serta ijazah sarjana bidang perniagaan (MBA) dari Amerika Syarikat, sepatutnya sudah memberi jaminan hidup tetapi empunya diri enggan meneruskan kerjaya dalam bidang berkenaan.

''Saya sudah bosan," katanya ringkas ketika ditanya sebab meninggal bidang glamor itu.

Bagi Hanafiah Abdul Rahman, 47, usahawan akuakultur yang ditemui Mega di ladangnya di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini, beliau menceburi bidang penternakan ikan adalah kerana minat semata-mata..

Hanafiah, anak kelahiran Kampung Sri Terubok, Masjid Tanah, Melaka, memberitahu, meskipun tidak mempunyai kemahiran dalam industri akuakultur tetapi usaha gigih memperoleh maklumat dan pengetahuan daripada pelbagai sumber.

Antara sumber rujukannya ialah kajian universiti, rakan penternak Kampuchea di Pekan Pahang dan di Cheroh, Raub, serta penternak bangsa Cina di Malaysia dan di Thailand, selain Internet.

Selepas ilmu penuh di dada, Hanafiah dengan yakin menubuhkan syarikat Dimensi Rebana Sdn Bhd. yang memulakan operasi pada 2006.

Ketika itu, tujuan asal perniagaannnya ialah menjual ikan air tawar ke restoran makanan laut Cina di sekitar Lembah Klang, Gohtong Jaya, Bukit Tinggi dan Karak, Pahang.

Ketika inilah beliau mula memahami selok belok perniagaan dan pasaran ikan termasuk cara menghantar, kaedah penyimpanan, putaran perniagaan, kerenah pembeli, orang tengah dan pelbagai aspek lain.

Dengan beroperasi dari sebuah rumah kedai di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, perniagaan pembekalan ikan air tawar Hanafiah semakin hari semakin semakin dikenali.

Namun beliau tidak berpuas hati kerana selalu menghadapi masalah bekalan yang berterusan, lantas memberi idea untuk mengembangkan sayap perniagaan kepada aktiviti baru iaitu menternak sendiri ikan tersebut.

Hanafiah mengambil keputusan menternak pelbagai spesies ikan iaitu ketutu, krai, tengalan dan haruan.

''Banyak masalah kami hadapi kerana kurang ilmu pengetahuan dalam teknologi penternakan serta makanan dan paling membelenggu ialah kesukaran mendapat benih, '' katanya.

Sebab itu, keputusannya untuk mengusahakan sendiri ternakan tepat pada masanya memandangkan bekalan benih menjadi masalah besar kepada penternak.

Beliau menganggarkan pelaburan membina infrastruktur menghampiri angka RM500,000 dan ia boleh dianggap berbaloi kerana melibatkan banyak spesies ikan untuk dibiakkan.

Pada masa ini, Dimensi Rebana memiliki ladang di Kampung Bukit Kecil, Simpor, Tikam Batu Sungai Petani yang dilengkapi dengan 17 buah kolam konkrit bersaiz 20 kaki x 100 kaki x 2 kaki.

Selain itu, ladang terbabit juga mempunyai enam unit kolam bersaiz 10 kaki x 20 kaki x empat kaki yang semuanya digunakan untuk ternakan ikan ketutu.

Tiga unit daripada kolam digunakan untuk penetasan ikan sepat siam.

Ladang tersebut kini memiliki hampir 1,200 ikan ketutu seberat antara 200 gram dan 1.2 kilogram (kg).

Meskipun menternak ketutu sangat penting kepada ladang tersebut, infrastruktur juga ditambah untuk menternak spesies lain.

Terdapat 20 buah kolam konkrit (ukuran 20 kaki x 25 kaki x 4 kaki) dan dua buah kolam (ukuran 20 kaki x 50 kaki x 4 kaki) untuk ternakan kira-kira ikan tengalan, Krai, ikan jelawat, induk tilapia, puyu siam, sepat siam dan ikan patin buah selain 12 unit kolam tanah yang pembenihan ikan keli dan zooplankton (Moina sp).

Apa yang menarik, kemudahan tersebut dibina oleh syarikat terbabit tanpa membabitkan pihak luar. Ladang dan pusat pembenihan ini di uruskan oleh adik ipar Hanafiah iaitu Suhaimi Md. Isa sejak 2003 lagi.

Syarikat terbabit kini boleh berbangga memandangkan hasrat untuk menjadi pembekal benih berjaya disempurnakan.

Malah, permintaan sentiasa ada dan untuk tujuan itu pembenihan aruhan dijalankan untuk meningkatkan jumlah benih ikan yang diternak.

Menurut Hanafiah, pasaran ikan sungai sentiasa ada kerana semakin ramai meminatinya tetapi bekalan agak terhad.

Katanya, hampir 70 peratus benih ikan air adalah di import dari luar terutamanya Thailand dan Indonesia.

Tambahan pula, ikan sungai menjadi hidangan istimewa di kalangan penggemarnya.

Beliau kini mampu menghasilkan anak keli pada jumlah 500,000 ekor sebulan ikan ketutu pada kadar 20,000 ekor sebulan manakala ikan sepat 200,000 ekor sebulan.

Selain membekalkan benih, Dimensi Rebana pada mulanya hanya tertumpu kepada perniagaan pemborong ikan air tawar dan air laut juga mula berjinak-jinak menceburi bidang pemakanan ikan. Selain itu syarikat juga menjual ubat ubatan dan peralatan akuakultur.

Hanafiah berkata, beliau berjaya dalam usahanya menghasilkan sendiri pelet untuk makanan air tawar termasuk ketutu.

Rumusan makanan ikan itu agak menarik kerana dihasilkan daripada bahan yang mudah diperoleh dan sesuai untuk diberi makan kepada ketutu, keli dan puyu.

''Ikan ketutu ini tidak makan pelet tetapi ada cara bagaimana menjadikannya penggemar pelet iaitu mengajarnya berpuasa terlebih dahulu sebelum memberi makan,"ujarnya.

Pelet tersebut dihasilkan daripada ikan bilis, dedak padi, minyak ikan dan tepung ubi sebagai binder.

Jika semuanya berjalan lancar, selain mengeluarkan anak benih, formula makanan ikan itu menjadi teras kekuatan kepada syarikat tersebut yang dibangunkan dengan bantuan rakannya.

Ikan ketutu yang biasanya berharga kira-kira RM100 seekor seakan menjadi ternakan emas dan dianggarkan nilainya sangat tinggi.

''Malah di Hong Kong, pasaran ketutu sangat lumayan," ujar Hanafiah.

Dengan kejayaan dan kemampuan sedemikian, Dimensi Rebana kian menampakkan kemampuannya dan kini menawarkan kursus ternakan ketutu selain pemprosesan makanan ikan.

Kepakaran dalam pembenihan aruhan ikan ketutu, puyu, krai, tengalan sepat, ketam dan pelbagai spesies lagi menunjukkan kemampuan syarikat terbabit tidak boleh dipertikaikan.

Tanpa bantuan daripada agensi perbankan, syarikat terbabit yang mempunyai jaringan hubungan rapat dengan penternak ikan di Pekan, Maran, Temerloh, Cheroh di Pahang serta Sungai Petani, Kuala Sanglang dan Tanjung Dawai di Kedah, membuktikan potensi industri akuakultur untuk dimajukan. - Utusan Malaysia

Teknologi pemakanan untuk ternakan keli

Bidang pertanian kini semakin menarik perhatian golongan profesional yang mendapati pertanian boleh dijadikan sumber pendapatan lumayan.

Seorang pengamal undang-undang, Mohammad Hifdzi Hamzah yang mempunyai firma guamannya sendiri telah mula berjinak-jinak dalam bidang pertanian sejak enam tahun lalu.

"Saya menceburkan diri dalam bidang pertanian sejak enam tahun lalu kerana minat yang mendalam," katanya semasa ditemui di tempat ternakan ikan keli di Batu Caves, Selangor.

Sebagai seorang peguam, beliau sentiasa menjalankan penyelidikan dan kajian bagi meningkatkan lagi bidang pertanian.

Justeru beliau menubuhkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan yang dinamakan Perintis Agrotech Centre.

Selama bergiat dalam bidang pertanian, beliau telah menjadi mentor atau pakar rujuk bagi mereka yang berminat dalam pertanian.

Walaupun sibuk dengan kerjaya dan pertanian, Mohammad Hifdzi berkata, dalam dunia yang canggih, seseorang memerlukan beberapa kemahiran dan boleh melakukan beberapa kerja dalam satu masa.

"Itulah yang saya amalkan selama ini," katanya. Justeru pemerhatian dan kajian yang dilakukan selama tiga tahun ke atas dalam ternakan ikan keli membawa kepada makanan ikan keli yang dinamakan pro asli.

Kajian yang dijalankan memberikan tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu

lKos makanan palet yang terlalu tinggi dan membebankan

lTumbesaran ikan keli yang lambat dan tak sekata

lKualiti ikan keli tidak asli

Mohammad Hifdzi menambah, makanan ikan keli atau pro asli lebih dikenali sebagai magic grow dalam kalangan pengguna memandangkan ikan mendapat makanan setiap masa dengan penjimatan kos.

Beliau mendapat idea menghasilkan magic grow bagi mengurangkan kos makanan dan operasi antara 80 hingga 90 peratus. Justeru beliau menggabungkan teknologi dua negara iaitu Jepun dan Thailand.

Teknologi probiotik dari Jepun dapat mempercepatkan tumbesaran dan tempoh tuaian ikan selain mengawal kualiti air.

Manakala kaedah asli diadaptasi dari Thailand bagi menjimatkan kos melalui makanan semula jadi di dalam air seperti mineral, lumut, plankton, alga, dan protein bagi menghasilkan kualiti dan rasa seperti ikan sungai.

"Kit lengkap Pro Asli terdiri daripada tiga produk iaitu permulaan Bio-Mineral, Bio-Vita digunakan seminggu sekali dan Bio-Aqua diletakkan dua minggu sekali," katanya.

Bio-Mineral yang digunakan pada permulaan akan mengaktifkan perkembangan makanan asli untuk ikan seperti zooplankton, fitoplankton, protin dan alga.

Makanan tambahan seperti vitamin diberikan bersama-sama makanan lain seperti roti, lebihan nasi atau hampas kelapa seminggu sekali bagi mempercepatkan tumbesaran dan tuaian.

"Ini bagi memastikan tumbesaran sesuai untuk tujuan komersial iaitu 75 hingga 100 hari," katanya.

Bagi mengawal bau, kualiti air dan paling penting menukarkan najis ikan kepada lumut bagi makanan ikan, Bio-Aqua digunakan dua hingga tiga minggu sekali.

Hifdzi berkata, penggunaan magic grow amat sesuai bagi mereka yang bekerja dan tidak mempunyai cukup masa untuk menguruskan ternakannya.

"Penternak hanya perlu memantau kolam ternakannya seminggu sekali dan pengredan hanya dilakukan pada peringkat awal.

"Ia amat sesuai digunakan bagi semua kolam ternakan seperti kolam tanah, simen, kanvas, gentian kaca, tangki poli dan HDPE," katanya.

Mohammad Hifdzi berkata, produk yang diciptanya bagi memberikan peluang kepada penternak mendapatkan keuntungan maksimum walaupun harga ikan tidak meningkat.

Produk ini juga bakal memberikan nafas baru kepada usahawan tani atau penternak yang telah putus asa disebabkan kos makanan terlalu tinggi.

"Saya juga berharap dalam melahirkan lebih ramai pengusaha atau penternak secara kecil-kecilan atau komersial melalui kaedah ternakan mudah dan menjimatkan.

"Produk ini juga dapat menghasilkan ikan super organik kualiti tinggi dan sedap, selain memperkenalkan sistem ternakan yang mudah dan mesra sebagai aktiviti sekeluarga dan sara diri," katanya.

Justeru, Mohammad Hifdzi berkata, pihaknya percaya magic grow merupakan salah satu projek dalam konsep Bumi Hijau yang boleh dijalankan oleh sesiapa saja.

Beliau menjelaskan dengan kos yang rendah, semua orang berpeluang menternak ikan keli sebagai aktiviti sekeluarga.

Buat masa ini jelas Hifdzi berkata, konsep ini lebih berpusat di Lembah Kelang tetapi beliau bercadang untuk memperkenalkan magic grow ke seluruh negara.

"Saya percaya program ini dapat menambah unsur positif kepada penternak selain menambah pendapatan.

"Ini merupakan suatu peluang yang baik lebih-lebih lagi semasa keadaan ekonomi yang tidak menentu," katanya. Hifdzi menambah, pihaknya telah bekerjasama dengan syarikat Perintis Dagang Sdn. Bhd. untuk memasarkan Pro-Asli atau Kit Pro-Asli.

Pro Asli disasarkan bagi penternak baru manakala Kit Pro Asli pula bagi penternak sedia ada.

Ditanya mengenai perbezaan antara makanan organik, keli makan tanah, protein keli dan Pro Asli, Hifdzi berkata, Pro Asli merupakan satu kaedah makanan baru di negara ini tetapi telah lama digunakan di negara jiran, Thailand.

"Di sana mereka memberikan campuran tanah liat, tahi lembu kering, tanah hitam dan baja cacing sebelum ditambah ke dalam air.

"Ini dapat memastikan ikan mendapat makanan dan terus hidup tanpa makanan lain dan tidak mengambil kira jangka masa tuaian komersial 75 hingga 100 hari," katanya.

Bagaimanapun magic grow telah melangkah lebih jauh kerana bukan saja membuat makanan asli tetapi mengambil kira faktor tumbesaran yang menepati standard komersial.

Selain itu pengurusan kualiti air dan najis ikan, vitamin untuk tumbesaran dan antibodi, memperbaiki kualiti dan mutu ikan ke arah standard super organik iaitu 100 peratus makanan asli, bersih dan berteknologi tinggi pada harga yang rendah.

Bagi mengiktirafkan produk magic grow, Mohammad Hifdzi senang memohon Sijil Amalan Organik dan mendapatkan status bioteknologi. - Utusan Malaysia

Keistimewaan tanaman tebu

RAMAI petani masa kini, tidak berminat untuk menanam tebu dan beralih kepada tanaman lain yang dianggap lebih menguntungkan.

Tanpa mereka sedari sebenarnya tebu lebih mudah untuk ditanam dan boleh mendatangkan hasil lumayan yang berterusan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Ini terbukti dengan peningkatan jumlah eksport tebu ke Singapura yang meningkat pada setiap tahun.

Bermula tahun 2004 dengan nilai eksport RM3.04 juta, ia berkembang hingga mencecah angka RM5.8 juta pada tahun 2007. Untuk tiga bulan pertama tahun tahun lalu sahaja, nilai eksport tebu ke negara jiran itu telah mencecah RM1.5 juta.

Justeru, bagi memastikan pembangunan industri tebu terus berkembang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membina Kompleks Pengumpulan Ladang bagi komoditi tebu di Batu Pahat, Johor.

Ia dibina di Lot 3421, Jalan Persekutuan Muar - Batu Pahat, Mukim 1 Lubok, Semerah Batu Pahat dengan kos RM4.5 juta dan telah beroperasi sejak awal tahun ini yang mana Purecane Manufacturing Sdn. Bhd. bertindak sebagai pengeksport.

Kompleks pertama

Ia merupakan kompleks pertama seumpamanya di negara ini bertujuan menyediakan kemudahan, peluang dan tempat rujukan kepada penanam-penanam tebu dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Ia menguruskan pengendalian tebu segar untuk tujuan eksport atau pasaran tempatan, pemprosesan tebu segar, pembungkusan dan penggredan.

Secara tidak langsung, kehadiran kompleks itu memberi impak positif kepada pengeksport, pemborong dan petani-petani di negeri-negeri terbabit serta mampu meningkatkan lagi hasil pengeluaran tebu negara.

Penubuhan kompleks itu juga bermatlamat untuk menggalakkan program pakatan pintar dan kerjasama antara sektor swasta dengan agensi kerajaan khususnya FAMA bagi membangunkan lagi industri tebu tempatan.

Selain itu, kompleks yang terletak di kawasan seluas 0.8 hektar itu juga bertujuan untuk menerapkan teknologi moden dan kendalian lepas tuai tebu segar selaras dengan keperluan semasa .

Ia juga memudahkan pihak berkuasa memberi pengiktirafan sijil Euregap, piawaian AVA Singapura dan lain-lain pengiktirafan.

Kompleks berkenaan dijangka dapat membantu pihak kerajaan dalam usaha menjadikan pertanian sebagai pendapatan negara dan menjadi pemangkin kepada individu terbabit agar lebih maju dan aktif.

Penubuhan kompleks berkenaan juga dapat meringankan beban pengeksport yang tidak berupaya menyediakan tempat pemprosesan mengikut tahap piawaian bagi tujuan pengeksportan yang mana Singapura adalah pasaran tradisi tebu Malaysia.

Pembinaan kompleks tersebut juga mampu meningkatkan pengetahuan di kalangan orang ramai terutama petani, pengeksport, pengusaha industri, untuk menjadikan pusat ini sebagai rujukan yang khusus mengenai tebu.

Pegawai FAMA Batu Pahat, Abd. Rahman Mohd. Nor berkata, FAMA telah memperkenalkan konsep ladang kontrak untuk tebu ini buat julung kalinya dengan melibatkan kira-kira 60 petani dari Negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman Ladang Kontrak Tebu antara FAMA, petani dan pengeksport tebu Purecane Manufacturing Sdn. Bhd. telah diadakan tahun lalu.

Kompleks itu, katanya, membolehkan FAMA mendapat bekalan berkualiti secara berterusan untuk pembekalan kepada pelanggan, manakala petani mendapat jaminan pasaran sementara pengguna mendapat produk berkualiti.

Sekali gus, katanya, FAMA dan pengeluar bersetuju mampu mengeluarkan produk pada kualiti, kuantiti, jenis, pembungkusan, gred dan masa yang dipersetujui bersama mengikut peraturan 3P (Penggredan, Pembungkusan dan Pelabelan).

Tambahnya di daerah Muar kawasan tanaman tebu adalah 173 hektar ,manakala di daerah Batu Pahat ialah 22.6 hektar. Ia terletak antara lima hingga 18 kilometer dari pusat pengumpulan tebu dan terdapat tujuh pengeksport tebu ke Singapura bagi daerah Muar dan Batu Pahat.

Pengurus Purecane Manufacturing Sdn. Bhd., Yumi Chee berkata, setiap hari sebanyak 10 tan tebu diperlukan untuk dieksport ke Singapura dan ia akan bertambah pada hari cuti umum atau perayaan iaitu peningkatan hingga 20 tan sehari.

Menurut Yumi, pihaknya juga sedang berusaha untuk memasuki pasaran Asia Barat dan perbincangan mengenainya telah pun diadakan.

Bagaimanapun, katanya, 30 tan tebu diperlukan setiap hari untuk di eksport ke Asia Barat tetapi bekalan tebu pada masa ini tidak mencukupi memandangkan para petani kurang berminat untuk menanam tebu.

Buat masa ini katanya, bekalan yang ada hanya cukup untuk di eksport ke Singapura dan yakin hasrat untuk eksport ke Asia Barat akan berjaya sekiranya para petani dapat membantu dengan menanam tebu secara komersial.

Menurut Abd. Rahman, FAMA sentiasa memberi ruang dan peluang kepada petani untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai penanaman tebu melalui kursus-kursus yang dijalankan oleh agensi itu.

Setakat ini katanya, beberapa kursus mengenai tebu telah dibuat dan sambutan amat menggalakkan, tetapi kebanyakannya daripada golongan petani yang telah berusia. Untuk itu FAMA kini sedang berusaha untuk menarik golongan belia menyertai pertanian secara aktif.

Tambahnya lagi modal yang diperlukan untuk memulakan penanaman tebu secara komersial ialah RM20,000 untuk satu ekar dan penjagaannya tidak cerewet serta mudah untuk diuruskan.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Datuk Ariss Samsudin menyeru agar para petani di sekitar DUN Semerah mengambil peluang yang ada dengan menanam tebu kerana pusat pengumpulan tebu yang di bina di Semerah ini merupakan yang pertama di Malaysia dan bekalan sentiasa diperlukan setiap hari.

Ariss yang melawat pusat pengumpulan tebu itu bersama para pegawai FAMA baru-baru ini melahirkan rasa teruja dengan adanya pusat pengumpulan tebu itu yang pastinya dapat menaikkan nama Batu Pahat. - Utusan Malaysia

Pujuk pokok kabung keluarkan nira

Pokok kabung, sejenis pokok palma berasal dari Indonesia yang dikenali juga sebagai pokok Enau atau nama botaninya, Arenga pinnata, mungkin agak pelik berbanding dengan pokok daripada spesies palma yang lain.

Pokok daripada keluarga Arecaceae ini pelik kerana semakin ia meninggi dan matang, tandan bunga dan buahnya pula tumbuh kian merendah di bahagian bawah batangnya hingga hampir mencecah tanah.

Malah, dikatakan bahawa apabila tandan yang tumbuh di batang itu sudah hampir ke tanah, menandakan bahawa pokok kabung berkenaan sudah tua dan akan mati.

Ini berbeza dengan pokok daripada spesies palma yang lain seperti pokok kelapa dan rumbia kerana tandan bunga dan buahnya akan tumbuh meninggi mengikut kematangan dan ketinggian pokok berkenaan.

Pokok kabung, yang mengeluarkan nira yang boleh diminum begitu saja atau di proses menjadi gula merah dikatakan hanya akan mengeluarkan nira daripada tandan sepadan dengan 'pujukan' yang diberikan.

Tidak semua tandan pokok kabung mengeluarkan nira kerana hanya tandan bunga jantan sahaja yang boleh 'dipujuk' untuk mengeluarkan niranya.

Tandan bunga betina pula tidak akan mengeluarkan nira meskipun dipujuk seperti tandan bunga jantan.

Kerja 'memujuk' mengikut istilah yang digunakan pemungut nira di Ladang Sungai Balung, iaitu dengan mengetuk batang tandan bunga jantan itu secara bersopan, memang berlaku berdasarkan pengalaman mereka sejak bertahun-tahun lamanya.

''Sebelum batang tandan bunga jantan dicantas, batang tandan berkenaan perlu dibersihkan daripada sebarang sisa kelopaknya.

"Selepas itu, ia perlu 'dipujuk' dengan mengetuk-ngetuk batang tandan itu ke arah atas dua kali dan arah ke bawah dua kali.

''Tujuan mengetuk berkenaan ialah bagi melonggarkan rongga-rongga saluran aliran air nira dalam batang tandan berkenaan. Kalau tidak dibuat begini air nira tidak akan keluar", kata Nurdin Baddusa, 49, yang telah menjalankan kerja mengutip air nira sejak tujuh tahun lepas.

Menurut Nurdin, ketukan pula hendaklah dibuat secara berhati-hati supaya tidak mencederakan batang tandan berkenaan.

"Jika ketukan terlalu kuat dan batang tandan tercedera, nira tidak akan keluar langsung," kata Nurdin ketika ditemui di Ladang Sungai Balung, kira-kira 60km dari sini.

Beliau adalah seorang daripada kira-kira 20 pekerja pemungut air nira di ladang berkenaan. Menurut Nurdin amalan berkenaan perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan berterusan sehingga bunga pada tandan pokok Kabung kembang.

''Apabila bunga pada tandan berkenaan sudah kembang, tandan berkenaan bolehlah dicantas dan jika aliran air niranya sudah agak deras ia boleh ditadah dengan bekas yang direka khas.

"Jika belum deras, bahagian hujung tandan yang dicantas itu perlu dihiris sebaiknya sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada waktu petang sehingga aliran niranya deras", katanya.

Nurdin berkata, nira biasanya dikutip dua kali sehari dan ada antara pokok kabung berkenaan boleh mengeluarkan sehingga 10 liter nira sehari.

Katanya, nira yang siap dikutip kemudian dihantar ke kilang pemprosesan yang terletak dalam ladang berkenaan untuk diproses menjadi sirap nira kabung (Arenga Pinnata Syrup).

"Kami memproses kira-kira 700 kg nira kabung sehari," kata Masriani Mansor, ahli teknologi makanan di kilang pemerosesen sirap nira kabung berkenaan.

Sementara itu Pengurus Besar Kebun Rimau Sdn Bhd K.Arunagirinathan yakin sirap nira kabung atau gula kabung suatu hari nanti akan menjadi satu daripada sumber gula utama di negara ini.

Menurutnya, gula kabung boleh menggantikan gula biasa dan lebih penting daripada itu ia tidak mengandungi glukosa dan baik untuk kesihatan khususnya bagi pengidap kencing manis.

''Kami sudah menanam kira-kira lebih 5,000 pokok kabung daripada jenis benih bermutu tinggi meliputi kawasan seluas kira-kira 809 hektar di Ladang Sungai Balung.

''Dalam tempoh 10 tahun dari sekarang mungkin kami perlu membina kilang memproses sirap nira kabung atau gula merah yang lebih besar.

''Saya juga yakin suatu hari nanti sirap nira kabung ini akan menjadi sumber gula utama di negara ini malah mungkin juga menjadi pilihan utama penduduk dunia kerana kebaikannya dari segi kesihatan", katanya.

Arunagirinathan berkata, sirap nira kabung yang dikeluarkan syarikat berkenaan yang kini sudah berada dalam pasaran tidak mengandungi bahan kimia atau pewarna atau perasa tiruan sebaliknya keasliannya dikekalkan.

Katanya, idea penanaman pokok kabung berkenaan secara besar-besaran bermula sembilan tahun lepas apabila pengerusi syarikat berkenaan Datuk Harris Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah membawa benih pokok berkenaan dari Indonesia.

Menurutnya, sirap nira kabung boleh dijadikan bahan masakan dalam kuih-muih tradisional, makanan dan minuman.

Antara makanan yang popular dengan campuran gula atau nira kabung ialah bubur kacang, kuih koci, kuih kelepong, dodol, wajik, agar-agar, kuih sepang, air batu campur dan cendol.

Sirap nira kabung juga boleh digunakan sebagai pemanis dalam pembuatan kek serta pastri, makanan bijirin dan jus buah-buahan. - Bernama

Tauke itik cuba benda baru

Berpegang kepada cogankata Pertanian Adalah Perniagaan, Razak Abdul Malek, 49, mencuba beberapa jenis pertanian bermula dengan ayam kampung daging, lintah dan ikan.

Meskipun pada awalnya dia terlibat dengan sektor pelancongan, namun mengambil keputusan beralih angin tidak mematahkan semangatnya untuk menceburi bidang tersebut .

Bermula dengan syarikat Lia Sari Marketing yang ditubuhkan pada tahun 2007 untuk bergiat dalam jual beli dan mengusahakan pertanian secara komersial, kini Razak mengusahakan ladang ternakan itik daging.

Berdasarkan hasil pemerhatian yang dilakukan, Razak kemudiannya mengambil keputusan menternak itik kerana dia suka mencuba sesuatu yang baru dan tidak mempunyai ramai pesaing.

"Saya melihat ternakan itik pedaging Muscovy atau serati yang tidak mempunyai banyak pesaing, saya mengambil keputusan menternak itik," katanya semasa ditemui di ladang ternakan itiknya di Kampung Hulu Lepar, Mukim Gali, Dong, Raub, Pahang.

Malah, apa yang lebih membanggakan, menurut perangkaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Raub dan Kuantan buat masa ini, Lia Sari Marketing merupakan penternak terbesar itik pedaging di negeri Pahang.

Mendapat khidmat nasihat daripada JPV Raub dan Kuantan, Razak menternak lebih 5,000 ekor itik pedaging di kawasan seluas tujuh ekar.

Mendapatkan benih itik daripada penternak swasta, beliau menternak anak itik berusia dua hari sehingga berusia empat bulan sebelum boleh dijual di pasaran.

Biasanya setiap bulan, beliau membeli antara 1,500 hingga 2,000 ekor anak itik bagi memastikan bekalan itiknya sentiasa ada.

Hasil kajian dan pengalaman hampir setahun mengendalikan anak itik, pekerjanya dapat mengurangkan jumlah kematian sehingga kurang 10 peratus setiap kali penghantaran.

Razak berkata, pada hari pertama sampai, anak itik dicelupkan muncungnya ke dalam air sebelum dimasukkan ke dalam kotak asuhan.

Setelah berada dalam kotak asuhan antara tiga hingga lima jam, anak itik diberikan makanan dan minuman yang dicampurkan dengan anti stres yang ditambah dengan vitamin dan dibiarkan selama dua minggu.

Pada usia satu hingga dua minggu, anak-anak itik akan ditimbang berat bagi tujuan pemantauan tumbesaran dan menentukan jumlah makanan yang diperlukan.

"Biasanya kuantiti makanan yang diberikan bergantung kepada berat badan anak itik," katanya yang memberikan dedak hitam kepada anak itik.

Kotak asuhan akan dicuci setiap dua hari bagi memastikan kebersihan, kesihatan dan keselamatan anak itik sentiasa terpelihara.

Biasanya semasa berusia awal tiga minggu, muncung anak itik akan dipotong atau dikikis bagi mengelakkan mereka memagut antara satu sama lain.

Anak itik yang berusia antara dua hingga tiga minggu akan dilepaskan di reban besar dan lapang bagi memastikan keselesaan dan ruang makanan yang lebih besar.

Di kawasan ini juga terdapat kolam untuk itik berenang bagi menyejukkan badan dan mengurangkan stres.

Ternakan itik akan ditempatkan di reban pertama selama 10 hingga 12 minggu sebelum diasingkan di kandang lain.

Bagi menjimatkan kos makanan ternakan Razak menggunakan pelet dan dedak serta makanan tambahan seperti hampas soya, kulit roti, kelapa kering dan sayur-sayuran.

Semasa itik berusia antara 14 hingga 16 minggu, ternakan yang sesuai akan diasingkan ke ladang transit bagi memudahkan ditangkap sebelum dikumpulkan di dalam bakul untuk dijual.

Biasanya itik yang ditangkap pada awal subuh hari Khamis atau Jumaat akan dihantar ke pasar-pasar sekitar bandar raya Kuala Lumpur seperti pasar borong lama Selayang, pasar Seri Kembangan, pasar Kajang, pasar Pudu dan pembeli yang datang sendiri ke ladang ternakannya.

Setiap bulan paling minimum, Lia Sari Marketing mampu menjual 1,350 ekor itik daging dan ia mempunyai sebanyak 6,000 ekor itik dalam masa empat bulan atau satu pusingan.

Razak berkata, harga itik yang dijual adalah RM8 sekilogram (kg) dan RM15.00/kg bagi harga runcit itik yang siap sembelih dan dibersihkan.

Biasanya terdapat dua kategori itik yang dijual, misalnya bagi jualan di pasar, itik yang diperlukan adalah lebih kurang tiga kg manakala untuk restoran pula empat kg.

Bagi memantapkan lagi operasi perniagaan, Razak bercadang untuk membuka gerai sendiri bagi jualan terus di pasar tani dan pasar malam di Lembah Kelang bagi peringkat permulaan.

"Bagi meningkatkan lagi operasi ternakan itik daging, kami bercadang membuka ladang baru dengan memohon tanah daripada pihak berkuasa seluas 12 hektar (30 ekar).

"Kami juga bercadang menjadi pembekal atau pengedar anak itik Muscovy di seluruh negara bagi membantu pusat penetasan itik," katanya.

Selain itik, Razak juga mempunyai sembilan buah kolam ikan tilapia dan keli di tanah seluas tujuh ekar sebagai pendapatan sampingan kepada itik.

Mendapat benih ikan tilapia dan keli daripada pembekal, Lia Sari Marketing dapat menghasilkan sehingga dua tan ikan bagi pasaran di pasar borong.

Razak juga memelihara pelbagai jenis unggas seperti angsa putih, angsa kelabu, merak, ayam api atau mutiara, ayam belanda, ayam laga, ayam emas, ayam selasih dan ayam sutera. - Utusan Malaysia